BIMB rai 15 pemenang Kempen Hari Guru, WIN Big 2021

BIMB rai 15 pemenang Kempen Hari Guru, WIN Big 2021

SHAH ALAM – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) baru-baru ini meraikan 15 pelanggan terpilih yang memenangi Kempen Hari Guru dan WIN BIG 2021 dengan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai RM250,000.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan-Runcit BIMB, Mizan Masram berkata, BIMB sentiasa berusaha menyediakan penyelesaian kewangan lengkap yang inovatif dan relevan kepada pelanggan.

Menurutnya, Kempen Hari Guru dan WIN BIG 2021 menerima sambutan yang amat memberangsangkan dan menunjukkan pertumbuhan jumlah pembiayaan yang signifikan kepada BIMB.

“Menerusi penganjuran kedua-dua kempen ini, segmen pelanggan yang terdiri daripada guru-guru dan pensyarah telah merekodkan kenaikan sebanyak lebih lapan peratus atau RM491 juta.

“Manakala segmen pelanggan kakitangan kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat swasta terpilih pula mempamerkan purata peningkatan sebanyak 7.3 peratus atau kira-kira RM1.28 bilion dari segi jumlah pembiayaan.

“Penganjuran kedua-dua kempen ini bertujuan memperluaskan lagi portfolio pembiayaan peribadi BIMB dan mempertingkatkan kesedaran umum terhadap penyelesaian perbankan lengkap BIMB yang turut merangkumi produk seperti Deposit, Pengurusan Kekayaan, Takaful dan Kad Bank Islam.

“Dengan penganjuran ini, kami terus menyediakan kemudahan kewangan dan perbankan yang lengkap dan khusus untuk menyokong kesejahteraan hidup pelanggan, terutamanya dalam landskap yang mencabar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mizan berkata, Kempen Hari Guru yang berlangsung pada 1 Mac hingga 31 Disember 2021 itu adalah tanda penghargaan kepada warga pendidik atas pengorbanan, dedikasi dan semangat mereka dalam menyampaikan ilmu terutamanya dalam keadaan semasa yang amat mencabar.

Katanya, penyertaan untuk kempen tersebut terbuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada yang terdiri daripada guru-guru, pensyarah dan kakitangan Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Pemenang berkumpulan dipilih mengikut jumlah pembiayaan terkumpul paling tinggi sepanjang tempoh kempen berlangsung.

“Turut diraikan pada majlis tersebut adalah pemenang Kempen WIN BIG 2021 yang dianjurkan dari 1 Jun hingga 30 November 2021, khusus untuk pelanggan produk Pembiayaan Peribadi-i terdiri daripada kakitangan kerajaan, GLC dan syarikat swasta terpilih.

“Seramai 10 kumpulan pemenang Kempen Hari Guru 2021 telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 setiap kumpulan, manakala lima pemenang Kempen WIN BIG 2021 membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 seorang,” jelas beliau.

Sumber