Berkat bantu mak ayah

Berkat bantu mak ayah

PUTRAJAYA – “Saya dari kecil tolong ayah saya buat kerja. Saya bukan orang yang betul-betul susah, tapi orang yang kerja susah untuk mendapatkan duit.”

Demikian perkongsian jejaka dari Kampung Batu Mengkebang, Kuala Krai Kelantan, Muhammad Afiq Ismail, 23, mengenai perjalanan hidupnya sebelum menamatkan pengajian dalam jurusan Perakaunan dan Kewangan di University of Essex, London baru-baru ini.

Menurutnya, ada perkara yang mahu dikongsi mengenai ‘ajaibnya’ jika seseorang itu berbuat baik kepada ibu bapa mereka.

“Saya tak mahu ayah kerja sampai tua, jadi saya tolong apa yang patut. Saya sanggup ketepikan rasa ingin bermain, waktu cuti sekolah saya pergi bantu ayah di kebun buat macam-macam perkara bagi membantunya.

“Tengok sekarang, saya sungguh tidak menyangka apa yang berlaku ke atas diri saya. Ini semua berkat membantu mak ayah,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Muhammad Afiq menyertai Malaysia #QuranHour dan menjadi salah seorang ahli jemputan untuk menyampaikan mesej kemerdekaan.

Bekas graduan kelas pertama itu berkata, dia bukanlah seorang yang genius sebaliknya kurniaan itu datang kerana sikapnya yang rajin membantu keluarga.

“Saya bukan pandai, orang cakap tahniah, bukan sebab saya pandai tapi berkat mak ayah.

“Jadi saya hendak pesan, Insya-ALLAH kita tolong mak ayah hidup kita akan senang hidup,” katanya.

Satu lagi pegangan hidupnya adalah menjadikan al-Quran sebagai peneman hidup dan berpegang pada prinsip ‘Hidup jangan tinggal solat’.

“Kita perlu jadikan al-Quran sebagai panduan hidup. Apa-apa yang kita buat kena bergantung pada ALLAH kalau kita nak dipermudahkan hidup ini.

“Ikutlah perintah-NYA dan tinggalkan larangan-NYA. Satu lagi apa yang saya pegang adalah solat jangan tinggal. Sebab bila kita solat, ALLAH akan jaga kita supaya kita keluar daripada jalan maksiat kerana solat pembimbing kita,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai Malaysia #QuranHour yang diadakan di sini hari ini, Muhammad Afiq berkata, program itu sangat membantu dalam mengajak umat Islam untuk mendampingi al-Quran.

“Bagi saya, program ini amat bagus dalam mengajak orang ramai membaca dan mendalami al-Quran.

“Diharapkan agar ia diadakan berterusan kerana memang banyak kesan positif kepada orang ramai agar kembali membudayakan al Quran dalam kehidupan harian mereka,” katanya yang sudah menerima tawaran bekerja di firma audit terkemuka.

Muhammad Afiq sebelum ini dilaporkan bekerja separuh masa sehingga 20 jam seminggu dengan membahagikan masa untuk kuliah dan masa lapang dengan bekerja sehingga akhirnya berjaya memperoleh Ijazah Kelas Pertama (Kepujian) dalam bidang Perakaunan dan Kewangan di universiti berkenaan.

Beliau juga ketika zaman kecil banyak membantu ayahnya bekerja di kebun kelapa sawit dan pernah menjadi penggembala kambing.

Kisah kejayaan Muhammad Afiq juga pernah mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Seri Paduka dalam satu kenyataan dilaporkan bertitah, menzahirkan ucapan tahniah kepada Muhammad Afiq atas kejayaannya yang luar biasa.

Seri Paduka turut bertitah melahirkan rasa kagum dengan sikap Muhammad Afiq yang menghormati dan taat kepada ibu bapanya selain mengagumi pengorbanan anak muda itu sehingga membolehkan beliau mencapai kejayaan, sekaligus perjalanan hidup Muhammad Afiq dan orang tuanya harus menjadi inspirasi kepada semua.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *