Beri nilai tambah, manfaat kepada pendeposit

Beri nilai tambah, manfaat kepada pendeposit

SETELAH sekian lama menggunakan kontrak simpanan Al-Wadiah Yad Dhamanah, Lembaga Tabung Haji (TH) memutuskan untuk menggantikannya dengan konsep baharu yang dipanggil sebagai Wakalah yang ternyata lebih efisien, sistematik dan berstruktur. Wakalah akan berkuat kuasa secara rasminya pada 31 Disember 2019.

Menerusi kontrak baharu itu, TH bertindak sebagai wakil untuk menguruskan dana pendeposit bagi tujuan pelaburan dan operasi haji. Keuntungan yang dijana hasil daripada aktiviti berkenaan pada setiap tahun akan diagihkan kepada pendeposit berdasarkan prestasi kewangan TH.

Bagi pendeposit sedia ada, mereka tidak perlu mengisi apa-apa dokumen baharu untuk urusan kontrak penukaran tersebut.

Sebagai makluman, peralihan itu akan dibuat secara automatik apabila pendeposit atau pemegang akaun di TH masih mengekalkan deposit wang mereka di TH. Begitupun, mereka (para pendeposit) tidak perlu khuatir dengan transisi tersebut. Ini lantaran kontrak simpanan baharu yang bakal dikuatkuasakan itu sebenarnya memberi nilai tambah dan manfaat kepada kita sebagai pendeposit.

Barangkali ada yang masih keliru dan kepala berselirat dengan pelbagai tanda tanya tentang konsep Wakalah.

Kenapa TH menukar kontrak simpanan syariah itu daripada Al-Wadiah Yad Dhamanah kepada konsep Wakalah? Apakah ia memberi kelebihan kepada kita sebagai pendeposit di TH?

Konsep Wakalah

Menjawab pertanyaan itu, Anggota Lembaga TH, Prof Dr Ashraf Md Hashim yang lebih arif menerangkannya secara terperinci kepada Sinar Islam. Sebelum mengulas lanjut, Ashraf mengajak kita mendasari konsep Wakalah.

ASHRAF

ASHRAF

Dalam bahasa mudahnya, ujar beliau, Wakalah bermaksud pelanggan mewakilkan TH untuk melakukan apa sahaja dengan wang yang mereka depositkan kepada pihaknya mengikut Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Jelasnya, Akta Tabung Haji membenarkan TH membuat pelaburan dan sebagainya. Akta berkenaan juga mewajibkan TH melaksanakan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan haji.

“Jadi, itulah (konsep) Wakalah yang dipersetujui oleh setiap pendeposit kepada TH untuk melaksanakan tugas-tugas tersebut dan membenarkan TH menolak kos sebelum dividen keuntungan diagihkan kepada mereka.

“Kos itu termasuklah kos pentadbiran, kos haji yang ditanggung TH dan ketiga, sebelum mendapat hasil pelaburan, kita izinkan TH untuk membayar zakat bagi pihak kita. Setelah tiga perkara utama itu ditolak, barulah ia diagihkan kepada pendeposit. Itu adalah tanggungjawab TH sebagai wakil dalam konsep Wakalah,” katanya dalam satu sesi wawancara di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Konsep itu katanya lagi, berbeza dengan bank atau institusi pelaburan lain yang mana mereka dikenakan bayaran atas pelaburan yang dibuat.

“Bayaran itu sebenarnya adalah keuntungan kepada institusi,” terang Ashraf yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ISRA Consultancy Sdn Bhd.

Berlainan pula di TH, badan berkanun berkenaan ditubuhkan bukan untuk mencari keuntungan. Bahkan, TH tiada pemegang saham atau sesiapa pun yang memiliki institusi itu kerana ia ditubuhkan di bawah Akta Tabung Haji.

“Sebab itulah kita tiada keuntungan yang hendak diagihkan kepada pemegang syer. Justeru, segala (keuntungan) akan diagihkan kepada pendeposit. Ini bermakna, apa yang TH tolak sebenarnya bukan fi (bayaran), tetapi ia adalah kos pengurusan sebenar.

“Bagaimanapun, TH dari semasa ke semasa cuba untuk mengurangkan kos-kos tersebut supaya apabila kos pentadbiran kurang, untungnya lebih dan dapat diagihkan secara lebih kepada pendeposit,” ujar beliau.

Perbezaan dengan kontrak lama

Sesi wawancara kemudian membangkitkan tentang perbezaan antara kontrak simpanan syariah berkonsepkan Wakalah dengan Al-Wadiah Yad Dhamanah.

Ashraf yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia menjelaskan, secara umumnya, kedua-dua kontrak itu sama sahaja iaitu wang prinsipal pendeposit dijamin oleh kerajaan dan mereka layak untuk mendapatkan keuntungan atau pulangan.

Namun, secara khususnya, sudah tentu kedua-dua akad itu ada perbezaan. Dari kaca mata Ashraf yang pakar dalam bidang berkenaan merumuskan, kontrak simpanan syariah Wakalah itu adalah lebih baik dan efisien.

KONSEP Wakalah yang bakal dikuatkuasakan dalam semua akaun pendeposit TH bersifat lebih efisien, sistematik dan berstruktur.

KONSEP Wakalah yang bakal dikuatkuasakan dalam semua akaun pendeposit TH bersifat lebih efisien, sistematik dan berstruktur.

“Secara spesifiknya, menerusi akaun Al-Wadiah Yad Dhamanah atau simpanan yang dijamin, apabila pendeposit datang kepada TH dan beri duit kepada TH, dari segi syariahnya, itu dikira sebagai sebahagian hutang yang pendeposit berikan kepada TH. Sebab itu, TH sebagai orang yang menerima hutang, dia perlu menjamin wang prinsipal berkenaan.

“Maknanya, kalau mereka bagi saya hutang RM100, saya sebagai penerima hutang kena bayar balik RM100. Tidak ada pilihan dan dengan itu, TH tak boleh hendak berjanji untuk memberikan pulangan RM105 kepada orang yang berikan hutang tadi kerana itu sudah jadi riba. Di situlah kekangannya.

“Begitu juga dengan deposit yang mana pendeposit datang bagi hutang kepada TH, namun secara tiba-tiba mereka minta TH bayar lebih secara kontrak. Itu tak boleh. Malah, apa yang kita bagi sebelum ini (menerusi Al-Wadiah Yad Dhamanah) ialah atas budi bicara TH. Ia tiada dalam kontrak kerana kalau ada dalam kontrak, itu akan dianggap sebagai riba,” kata beliau.

Bagi Wakalah pula, secara khususnya, ia melibatkan seseorang pendeposit yang datang kepada TH dan memberikan duitnya sebagai seorang prinsipal mewakilkan TH untuk melakukan sesuatu, antaranya melaburkan duit berkenaan dan sebagainya.

“Sebagai wakil, menjadi tanggungjawab TH untuk memberi pulangan kepada pendeposit tadi jika ada lebihan pulangan selepas ditolak dengan kos pengurusan dan beberapa kos terlibat yang dinyatakan tadi. Ia wajib diberi, bukan lagi atas dasar budi bicara seperti kontrak sebelumnya,” ujar beliau.

Justeru, peralihan daripada Al-Wadiah Yad Dhamanah kepada Wakalah itu memperlihatkan pengurusan kontrak simpanan syariah di bawah TH lebih jelas dari segi operasinya, jelas Ashraf.

Bahkan, ia akan lebih mendisiplinkan TH dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai wakil kepada pendeposit. Pada masa sama, akad itu bersifat lebih telus kepada pendeposit.

“Benar, kalau dulu atas dasar budi bicara, contohnya katakan TH untung RM100, namun dengan budi bicara tadi dia bagi RM50 sahaja dan bakinya boleh lagi simpan.

“Namun, apabila ditukar kepada kontrak syariah yang baharu, untung RM100 tadi selepas ditolak dengan kos-kos terlibat, bakinya akan diagihkan kepada pendeposit kerana kita kita tiada pemegang saham untuk diagihkan kepada mereka,” kata beliau.

Malah, konsep Wakalah itu juga membolehkan TH untuk membuat promosi dan menawarkan hadiah-hadiah tertentu dalam promosi berkenaan.

Tak jejaskan operasi

Adakah Wakalah akan menyebabkan dividen diperoleh pendeposit lebih tinggi?

Penyelidik Kanan di Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) itu menjelaskan, soal dividen tinggi atau tidak, ia sebenarnya bukan berdasarkan kepada akad berkenaan.

“Sebaliknya, ia bergantung kepada hasil perniagaan, pelaburan dan sebagainya. Jadi, tidak ada isu sama ada apabila beralih kepada Wakalah, (dividen) akan lebih rendah atau lebih tinggi. Ia bergantung kepada pasaran dan kebijaksanaan menguruskan wang tersebut.

“Apapun, menjadi tanggungjawab TH (untuk) menyalurkan sebarang keuntungan kepada pendeposit, berbanding akad yang lama atas budi bicara. Jadi, dari segi itu, saya rasa lebih baik dari segi disiplin pentadbiran kewangan,” ujar beliau.

Malah, Ashraf turut menjangkakan tambahan jumlah pendeposit yang dipacu oleh promosi dan sebagainya yang bakal dilaksanakan oleh TH, selain kelebihan mendepositkan wang bersama badan berkanun berkenaan berbanding dengan institusi lain.

“Selain wang yang dijamin kerajaan, pulangan yang bakal diperoleh juga akan mengikut pasaran. Tambahan pula, mereka yang menyimpan di TH juga insya-ALLAH akan beroleh ganjaran pahala kerana sedikit daripada keuntungan akan digunakan untuk membantu jemaah yang bakal mengerjakan haji. Maknanya, kita akan mendapat pahala di samping keuntungan,” kata beliau.

PROSES transisi dalam kontrak simpanan di TH tidak akan menjejaskan operasi badan berkanun itu, malah ia akan memantapkan lagi institusi kewangan umat Islam dan memudahkan urusan jemaah haji.

PROSES transisi dalam kontrak simpanan di TH tidak akan menjejaskan operasi badan berkanun itu, malah ia akan memantapkan lagi institusi kewangan umat Islam dan memudahkan urusan jemaah haji.

Meskipun berlaku peralihan tersebut, jelas Ashraf, ia langsung tidak menjejaskan operasi TH sebagai institusi kewangan umat Islam dan memudahkan cara urusan jemaah haji.

“Malah, ia akan memantapkan lagi hubungan TH dengan pendeposit dan operasi badan berkanun itu. Seperkara lagi, TH memang terkenal sebagai sebuah institusi yang efisien dalam melaksanakan tanggungjawabnya mengendalikan jemaah, saya yakin usaha itu akan diteruskan dan dimantapkan dari masa ke masa.

“Maka, tidak timbullah persoalan tentang pertukaran akad tadi kerana memang sudah menjadi tanggungjawab TH untuk memantapkan operasi mereka,” katanya.

Disebabkan itu, Ashraf berpendapat, tiada keperluan untuk TH menyediakan pilihan kontrak simpanan syariah lain apabila Wakalah menggantikan Al-Wadiah Yad Dhamanah berkuat kuasa pada 31 Disember 2019 kerana kelebihan akad baharu tersebut.

“Setakat ini, memang tiada pilihan lain untuk akad itu. Untuk ada pelbagai pilihan, ia agak sukar dari segi operasi dan ia juga membebankan dari segi operasi, kos dan sebagainya,” jelas beliau.

Berdasarkan rekod, TH kini mempunyai 9.4 juta pendeposit dan berpengalaman mengendalikan lebih sejuta jemaah haji sepanjang 56 tahun musim haji.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Wakalah, layari laman web https://www.tabunghaji.gov.my/wakalah atau https://www.tabunghaji.gov.my/ms/soalan-lazim-wakalah.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *