Berdoa dan mohon kepada ALLAH untuk membina takwa yang sebenar-benarnya

Berdoa dan mohon kepada ALLAH untuk membina takwa yang sebenar-benarnya

TAKWA memang mudah disebut, namun untuk mempraktikkannya bukan mudah.

Apatah lagi, untuk menggapai takwa ini, banyak dugaan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi.

Sebenarnya, di manakah letaknya takwa?

Dalam hal itu, Rasulullah SAW bersabda: “Takwa itu terletak di sini, sambil baginda menunjuk ke dada/hati baginda tiga kali.” (Riwayat Muslim)

Disebabkan tempatnya di hati, maka sukarlah untuk dilaksanakan kecuali mereka yang dipermudahkan oleh ALLAH SWT.

Benar, soal hati tiada siapa yang tahu dan hanya ALLAH sahaja yang dapat menguasainya.

Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah berkata, “Ketahuilah, sesungguhnya seorang hamba hanya mampu melalui tahap-tahap perjalanan menuju (reda) ALLAH dengan hati dan keinginannya yang kuat, bukan (cuma sekadar) dengan (perbuatan) anggota badannya.

“Dan takwa yang hakiki adalah takwa (dalam) hati dan bukan takwa (pada) anggota badan (saja),” kata beliau.

Cuba tanya pada diri kita, sudahkah kita menjadi insan bertakwa?

Jika jawapannya ya, sejauhmanakah takwa kita kepada ALLAH?

Jika tidak, bermakna iman kita belum mencapai tahap ‘cemerlang’ dalam mengabdikan diri kepada Sang Pencipta.

Ramai yang menganggap takwa hanya menunaikan hak ALLAH SWT sahaja, sedangkan ia juga merangkumi akhlak yang baik.

Apabila baik akhlak seseorang itu, maka, dia akan dapat menunaikan hukum dan hak ALLAH SWT.

Mana mungkin orang yang berakhlak buruk akan melaksanakan hak-hak terhadap ALLAH, bukan?

Justeru, pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan bulan menggapai takwa ini, apa kata kita mohonlah kepada ALLAH SWT supaya kita mampu membina takwa yang sebenar-benarnya.

Sesugguhnya, takwa itu mudah andai ALLAH sentiasa di sisi untuk membantu.

(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)



Sumber