Beraya di kampung saya atau kampung awak?

Beraya di kampung saya atau kampung awak?

BERAYA di kampung saya atau kampung awak? Itu situasi sukar yang sering dilalui oleh pasangan yang baru berkahwin khususnya apabila bercerita tentang destinasi untuk balik beraya.

Masing-masing nampaknya tidak mahu mengalah. Seboleh-bolehnya mahu bergembira bersama ibu bapa dan adik-beradik kandung.

Aidilfitri yang sepatutnya disambut penuh keceriaan boleh menjadi ‘bencana besar’ jika tiada kata sepakat.

Gambar hiasan; amalkan sistem giliran untuk elakkan pergaduhan suami isteri

Gambar hiasan; amalkan sistem giliran untuk elakkan pergaduhan suami isteri

Bayangkan, dalam isu balik kampung, si isteri waima suami secara automatik akan mengetepikan perasaan sayang.

Impaknya, masing-masing akan bermasam muka berminggu-minggu hingga menjejaskan emosi anak-anak.

Mengulas isu tersebut, Pengarah Eksekutif Love World Resources, Ibu Rose Shaary berkata, konflik pulang beraya ke rumah keluarga sendiri atau mertua sebenarnya harus dibincangkan dari awal lagi. Paling terbaik, sebelum institusi perkahwinan dibina lagi.

“Hal itu (balik kampung) menjadi rumit kerana pasangan tidak mempunyai sifat bertolak ansur dan tidak ada komunikasi. Mereka hanya memikirkan apa yang dikehendaki sahaja dan tidak peduli kehendak pihak lain.

 Pengarah Eksekutif Love World Resources, Ibu Rose Shaary berkata, konflik pulang beraya harus dibincangkan dari awal lagi

Pengarah Eksekutif Love World Resources, Ibu Rose Shaary berkata, konflik pulang beraya harus dibincangkan dari awal lagi

“Lebih baik hidup solo jika tidak mahu bertolak ansur dengan pasangan yang turut mempunyai keinginan untuk berhari raya pertama dengan keluarga mereka,” kata pakar psikologi itu ketika diwawancara Femina baru-baru ini.

Ujar Ibu Rose lagi, kadangkala ibu bapa turut menjadi penyebab kepada kemelut itu.

“Mereka dilihat suka memaksa anak-anak patuh kepada arahan yang diberikan. Kaum ibu telah menggunakan kedudukan ‘syurga di bawah telapak kaki ibu’ dan anak lelaki terpaksa akur dalam keterpaksaan.

“Alasan sebegitu membuatkan isteri tersepit. Perkara itu juga seharusnya tidak berlaku kerana ibu bapa harus ingat apabila anak mereka sudah berkahwin, mereka bukan sepenuhnya milik mereka. Anak-anak ada keluarga dan mertua yang perlu diambil perhatian,” tegasnya.

Sistem giliran

Ibu Rose berkata, bagi menyelesaikan permasalahan itu, beliau menyarankan agar sesebuah keluarga mengamalkan sistem penggiliran.

“Contohnya tahun genap di rumah keluarga suami dan tahun ganjil di rumah keluarga isteri. Maklum pada adik-beradik lain agar mereka maklum dengan sistem berkenaan,” katanya.

Menjawab satu soalan, pakar itu berkata, suami juga perlu menyelidik mengapa isteri tidak mahu beraya di rumah mertua. “Suami perlu memahami kemelut isteri yang mungkin tidak selesa dan tidak pandai membawa diri di rumah mertua.

Bagaimanapun, kedua-duanya harus menerima kebaikan dan keburukan keluarga masing-masing,” katanya

Dalam pada itu, Ibu Rose mencadangkan agar anak-anak yang tidak berkesempatan pulang beraya, gunakan teknologi yang ada.

“Jangan berdiam diri sahaja, capai telefon dan buat panggilan video. Jika ada duit, kirim duit raya, baju dan kuih raya sebelum menjelang hari raya.” ujar beliau lagi.

Kes 1

Terpaksa beraya di rumah mertua atas pujukan suami

Nurhaffiezlya ikut kemahuan suami beraya di rumah mertua

Nurhaffiezlya ikut kemahuan suami beraya di rumah mertua

Nurhaffiezlya Hassalludin, 26, mengaku, beliau berasa sedih tidak dapat beraya di rumah ibunya memandangkan suami, Mohd Fahmi Rosli, 26, mengajaknya menyambut lebaran di kampung mertua di Kota Kuala Muda, Kedah.

“Sebenarnya, pada raya tahun lalu, kami beraya di rumah mak saya kerana secara kebetulan majlis perkahwinan kami berlangsung pada hari raya. Suami telah gunakan ‘tiket’ itu walaupun saya rasa tak adil.

“Jadi, terpaksalah saya berhari raya di rantau orang tahun ini. Rasa macam kurang okay lebih-lebih lagi kini saya berbadan dua. Hati memang teringin sekali beraya bersama ibu. Saya tidak pernah berpisah dengan ibu. Saya teringin sangat menikmati air tangan ibu seperti nasi dagang pada hari lebaran nanti,” katanya.

Bagaimanapun, ujar Nurhaffiezlya, beliau terpaksa akur dengan kehendak suami dan berusaha memujuk diri sendiri.

“Saya memang merajuk pada mulanya, namun akhirnya saya mengalah kerana kasihankan suami. Sebagai anak lelaki tanggungjawab beliau lebih lagi kepada ibu bapanya,” ujar Nurhaffiezlya yang berasal dari Jerteh, Terengganu.

Kes 2

Amerul akur kehendak isteri mahu beraya dengan keluarga kandung

Amerul akur kehendak isteri mahu beraya dengan keluarga kandung

Amerul akur kehendak isteri mahu beraya dengan keluarga kandung

BAGI Amerul Izuwan Abdul Halim, 27, beliau tidak sanggup melihat isterinya, Deana Azreen Mohamed Zolman, 22, merajuk sebaik beliau meluahkan hasrat untuk beraya di rumah keluarganya di Kampung Pulau Gadong, Melaka.

“Sebelum kami berkahwin, isteri sudah menyatakan hasratnya ingin menyambut hari raya pertama di rumah keluarganya terlebih dahulu.

“Mulanya saya tidak kisah kerana orang tua saya sudah meninggal dunia. Namun saya kemudiannya berasa bersalah pada adik-beradik yang lain,” katanya yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik.

Amerul Izuwan berkata, beliau memohon pengertian daripada isterinya. Malangnya, Deana Azreen tetap memegang janji yang dibuat sebelum itu.

“Saya mengaku sedikit terasa. Namun setelah berfikir panjang, saya tidak mahu isteri merajuk disebabkan isu balik raya. Saya tahu, banyak hati yang perlu saya jaga,” katanya yang berharap adik-beradiknya memahami situasi dirinya.



Sumber