Bekas Dekan Kuipsas dinobat Tokoh Maal Hijrah Pahang 2018

Bekas Dekan Kuipsas dinobat Tokoh Maal Hijrah Pahang 2018

KUANTAN – Ahli akademik Datuk Dr Ahmad Munawar Abdul Jalil menyifatkan anugerah Tokoh Maal Hijrah Pahang 2018 yang diterimanya hari ini, sebagai pendorong untuk beliau terus berdakwah.

Ahmad Munawar, 60, berkata anugerah itu bukan sekadar pengiktirafan, namun juga sebagai ingatan bahawa tugas untuk mendidik tidak berakhir walaupun sudah bersara sebagai Dekan Fakulti Pengajian Islam di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah di sini, tahun ini.

“Walaupun tidak lagi bergelar pengajar, saya masih aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan berkaitan agama untuk dijadikan platform terus berdakwah dan berkhidmat kepada masyarakat.

“Perjuangan meninggikan martabat agama Islam harus dilakukan secara berterusan terutamanya pada masa kini yang mana sudah ada pihak yang berani mempertikaikan agama. “… disebabkan itu, saya melihat anugerah ini sebagai pemangkin semangat untuk saya cuba memartabatkan agama dan meletakkannya kembali ke tempat yang sepatutnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad Munawar menerima anugerah itu yang disampaikan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Pahang 2018 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini, hari ini.

Anak jati Kampung Paya Bungur, Maran dan berkelulusan doktor falsafah dalam jurusan pendidikan dari Universiti Selangor itu menerima wang tunai RM10,000, trofi dan sijil. Ahmad Munawar memulakan kerjaya sebagai Penolong Pengarah Dakwah Bahagian Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri pada 1985 dan pernah menjawat jawatan antaranya sebagai kadi daerah Maran dan Penolong Pengarah Undang-undang Islam Jabatan Agama Islam Pahang.

Beliau juga aktif dalam politik dan pernah menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit pada tahun 1999 dan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Pahang.

Pada majlis itu, Tengku Abdullah juga berkenan menyampaikan Anugerah Inovasi (Kakitangan, Swasta, Badan Bukan Kerajaan, Badan Berkanun dan Institusi Pengajian Tinggi) kepada Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang Datuk Halidan Md Daud dan Malaysia Relief Agency Pahang.

Pengasas dan Pengetua Madrasah Darul Uloom Sungai Salan, Jerantut Juhari Mohamad Ali, 60, pula menerima Anugerah Inovasi Pengkhidmat Agama, Zainon Abd Majid, 69, sebagai penerima Anugerah Mubaligh Saudara Baru manakala Kampung Orang Asli Mencupu di Pekan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Perkampungan Orang Asli Islam. Semua mereka menerima wang tunai RM5,000, trofi dan sijil. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *