Kelahiran Bayi Pertama Inspirasikan Ikhwan Fatanna Dalam Lagu ‘Cahaya Mata’

Penyanyi dan penulis lagu yang semakin dikenali di persada muzik tanah air, Ikhwan Fatanna, telah meluncurkan karya terbaharu berjudul “Cahaya Mata”.

Lagu ini dihasilkan khas sempena kelahiran anak sulungnya, seorang bayi lelaki yang diberi nama Yusuf Musa Mohamad Fatanah, pada 17 September lalu. Kelahiran ini bukan sahaja mengubah kehidupan Ikhwan, tetapi juga menjadi sumber inspirasi untuk menghasilkan sebuah karya muzik yang menggambarkan keindahan serta kebahagiaan yang datang bersama dengan tanggungjawab sebagai seorang bapa.

Lagu “Cahaya Mata” merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ikhwan sendiri dan dinyanyikannya dengan penuh perasaan. Melalui lagu ini, beliau ingin memaparkan detik-detik penuh makna serta kegembiraan yang dirasai oleh para ibu bapa apabila menerima kehadiran seorang insan baru dalam keluarga. Dengan lirik yang ditulis dengan penuh kejujuran dan ketulusan, lagu ini menyampaikan rasa cinta yang mendalam terhadap anaknya, serta mengangkat tema tanggungjawab dan kebahagiaan yang hadir bersamanya.

Susunan muzik dalam lagu ini lembut dan penuh emosi, dengan melodi yang indah serta menyentuh hati. Ia menciptakan suasana keintiman dan kedamaian, merangsang pendengar untuk merenungkan betapa berharganya sebuah kehidupan baru yang dilahirkan. Menurut Ikhwan, kelahiran cahaya mata mengubah pandangannya mengenai kehidupan secara keseluruhan. “Saya ingin berkongsi perasaan yang tidak terucap ini melalui lagu ‘Cahaya Mata’ sebagai tanda penghargaan untuk momen yang sangat indah yang saya dan isteri lalui. Lagu ini bukan sahaja untuk ibu bapa, tetapi juga untuk sesiapa sahaja yang merasai keajaiban kasih sayang dalam keluarga,” katanya.

Ikhwan juga menjelaskan bahawa lagu ini sangat istimewa kerana ia dihasilkan bersempena kelahiran anak sulungnya. Idea untuk menulis lagu ini muncul ketika isterinya sedang hamil, pada usia kandungan lima bulan. “Ketika itu, saya sangat gembira dan bersyukur, jadi saya ingin menterjemahkan rasa tersebut ke dalam sebuah lagu. Pada asalnya, saya bercadang untuk menyimpan lagu ini sebagai kenangan keluarga sahaja. Namun, selepas saya memberi isteri mendengar lagu ini, dia menyatakan bahawa lagu ini menarik dan saya memutuskan untuk berkongsi lagu ini dengan orang ramai. Saya yakin ramai yang pernah merasai perasaan yang sama ketika menyambut kehadiran cahaya mata,” tambahnya.

Ikhwan berharap agar lagu “Cahaya Mata” ini dapat menghiasi kehidupan setiap keluarga. “Ada banyak elemen kebahagiaan dan rasa syukur dalam lagu ini. Perasaan ini sangat luar biasa apabila dikurniakan cahaya mata, jadi saya terjemahkan perasaan tersebut ke dalam lagu ini. Saya berharap agar lagu ini dapat diterima baik oleh semua dan pendengar dapat menikmati setiap bait liriknya,” ujarnya.

Pelancaran lagu ini dijadualkan pada 18 Oktober 2024, yang bersamaan dengan genap sebulan usia cahaya mata Ikhwan. “Pelancaran lagu ini sangat istimewa untuk anak saya dan juga untuk semua cahaya mata lain, insya-Allah. Jika Allah mengurniakan lagi rezeki ini, saya tidak akan menolak dan saya akan sangat bahagia dengan anugerah ini. Bagi saya, tiada apa lagi yang ingin saya kejar, kerana impian saya selama ini adalah untuk membina sebuah keluarga yang bahagia,” katanya.

Beliau turut menambah, “Alhamdulillah, saya telah dikurniakan keluarga yang bahagia dan saya berharap agar kebahagiaan ini dapat dibawa hingga ke akhirat, insya-Allah.” Lagu “Cahaya Mata” yang diterbitkan oleh syarikat rakaman Nova Music akan tersedia untuk distrim di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music pada 18 Oktober 2024.

Siaran perdana video muzik lagu ini juga akan berlangsung di saluran YouTube Nova Music Videos pada hari yang sama, jam 3 petang, melalui pautan https://youtu.be/Cc8EkT-Qw4k. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan dan merasai keindahan lagu ini yang merakamkan perjalanan emosional seorang bapa baru.