Bank Rakyat umum dividen 15 peratus

Bank Rakyat umum dividen 15 peratus

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bank Rakyat mengumumkan dividen 15 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding 13 peratus pada tahun sebelumnya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, Bank Rakyat akan membuat pembayaran sebanyak RM429.50 juta kepada 827,066 anggotanya bermula Isnin (25 April).

“Saya mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan serta seluruh warga kerja Bank Rakyat kerana telah berjaya merekodkan kejayaan yang memberangsangkan meskipun sektor perbankan dilanda pelbagai cabaran pada tahun 2021 berikutan penularan Covid-19.

“Bank Rakyat juga masih mengekalkan prestasi kadar dividen dua digit untuk tempoh 23 tahun dan ia satu pencapaian cemerlang yang telah ditunjukkan oleh Bank Rakyat.,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman dividen Bank Rakyat dan prestasi kewangan Kumpulan Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 pada Isnin.

Noh berkata, pencapaian tersebut juga adalah hasil komitmen Bank Rakyat untuk merealisasikan mandat yang dipertanggungjawabkan sekali gus memperkasa kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggannya.

“Seperti yang kita maklum, Bank Rakyat sentiasa prihatin keperluan anggotanya yang mana 30 peratus penerima individu terdiri daripada golongan B40 manakala, 20 peratus penerima anggota koperasi terdiri daripada golongan B40.

“Saya berharap dengan penerimaan dividen ini sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh anggota dalam mengharungi pandemik Covid-19 dan membantu mereka membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata, Kumpulan Bank Rakyat meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak dua peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM32.30 juta.

“Ia disumbang kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan satu peratus bersamaan RM16.15 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.

“Jumlah sumbangan bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM48.45 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, bank tersebut telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.63 bilion dan keuntungan bersih sebanyak RM1.86 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Menurutnya, keuntungan itu meningkat berbanding RM1.44 bilion dan RM1.38 bilion tahun sebelumnya.

“Keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi ini dicapai melalui kekukuhan asas dan fokus terhadap aktiviti teras walaupun ketidaktentuan ekonomi akibat Covid-19.

“Keuntungan bersih yang lebih tinggi pula disumbangkan oleh liabiliti cukai tertunda yang lebih rendah pada tahun semasa,” katanya.

Beliau berkata, prestasi kewangan tahun lalu didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan serta kos pendanaan yang lebih rendah kesan daripada Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang rendah.

“Peruntukan penjejasan yang lebih rendah pada tahun semasa sejajar dengan aliran industri juga telah meningkatkan prestasi Bank Rakyat,” katanya.

Sumber