Bank Rakyat penuhi impian 22 pelanggan terpilih

Bank Rakyat penuhi impian 22 pelanggan terpilih

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat menerusi Kempen Penuhi Impian merealisasikan hasrat 22 pelanggan terpilih dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM500,000.

Antara impian pelanggan yang direalisasikan oleh Bank Rakyat termasuklah mendapatkan rawatan kesihatan, membawa ibu bapa menunaikan umrah, memberi hadiah kepada keluarga, kemudahan sesi pembelajaran di sekolah termasuklah untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar penganjuran kempen ini yang mana bertepatan dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ dan ia bukan sahaja bertujuan untuk membantu memenuhi hasrat dan impian pelanggannya melalui pembiayaan yang ditawarkan, malah merealisasikan impian peribadi pelanggan.

“Saya difahamkan Bank Rakyat telah turun padang ke setiap pelosok negara untuk menemu bual para pemenang bagi menyelami hati dan perasaan mereka. Saya tidak menyangka bahawa sebahagian daripada impian mereka bukanlah untuk diri sendiri malah untuk mengecapi impian orang lain.

“Saya percaya inisiatif ini merupakan satu permulaan dan harapan baharu kepada setiap impian,” katanya sempena Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Penuhi Impian Menara Kembar Bank Rakyat pada Isnin.

Mengulas lanjut, Noh berkata, beliau terharu dengan inisiatif Bank Rakyat dalam merealisasikan impian ibu bapa kepada adik Izzul Haidar, 5, yang menghidap penyakit tumor otak dan cacat penglihatan mata kanan seumur hidup.

“Impian mereka hanya untuk mencipta kenangan manis dan kegembiraan bersama anaknya sementara adik Izzul Haidar masih mampu berjalan dan melihat dengan mata kirinya.

“Begitu juga dengan impian Noorhayati, seorang guru di Arau, Perlis yang memasang harapan untuk membawa 22 orang pelajarnya yang kurang berkemampuan dan tidak pernah keluar dari Perlis untuk melancong dan melawat tempat menarik di Kuala Lumpur untuk menggembirakan mereka,” katanya.

Kempen Penuhi Impian yang berlangsung selama tiga bulan bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Mac 2022 itu juga merealisasikan impian pasangan yang sudah lama menanti kehadiran cahaya mata untuk menjalani rawatan IVF dan impian seorang guru untuk memiliki bengkel percetakan mini sendiri untuk dimanfaatkan bersama murid-murid di Sekolah Kebangsaan Bukit Garam 2, Kinabatangan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr Mohammad Hanis Osman, berkata, kempen tersebut melambangkan komitmen Bank Rakyat sebagai institusi perbankan yang sentiasa mengutamakan pelanggan yang memerlukan.

Selain itu, ia juga sebagai memberi dorongan dan motivasi kepada pelanggan Bank Rakyat yang menghadapi kekangan kewangan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda.

“Alhamdulillah, kempen ini yang dilancarkan pada 1 Januari lalu menerima lebih daripada 1,000 penyertaan sepanjang ia berlangsung. Ini menunjukkan bahawa ramai yang memerlukan bantuan dan sokongan untuk memenuhi impian mereka,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan kempen tersebut akan diteruskan pada penghujung tahun ini atas sambutan yang menggalakkan daripada seluruh pelanggan Bank Rakyat.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber