Bank Dunia sokong kaji semula pemberian subsidi bahan api

Bank Dunia sokong kaji semula pemberian subsidi bahan api

BANK Dunia berpendapat subsidi harus disasarkan dan justeru itu, ia mengalu-alukan langkah kerajaan untuk mengkaji semula mekanisme bantuan bahan api dan minyak masak.

Ahli ekonomi kanan negara, Shakira Teh Sharifuddin berkata, pada masa ini subsidi bahan api memanfaatkan isi rumah dalam segmen berpendapatan tinggi lebih daripada mereka dalam kumpulan berpendapatan rendah.

Kajian Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini menganggarkan 40 peratus daripada subsidi bahan api disalurkan kepada isi rumah berpendapatan tinggi dan hanya empat peratus kepada segmen berpendapatan rendah.

”Jadi, secara amnya, kami berpandangan bahawa subsidi harus disasarkan kepada mereka yang lebih memerlukan.

“Kerajaan sedang memikirkan untuk bergerak ke arah sistem yang lebih disasarkan dan bukannya sistem subsidi menyeluruh dan ini amat dialu-alukan,’’ katanya kepada pemberita selepas melancarkan laporan World Bank East Asia and Pacific Economic Update – April 2022 di sini hari ini.

Shakira berkata, kira-kira 40 peratus daripada perbelanjaan subsidi kerajaan disalurkan kepada subsidi bahan api dan minyak masak.

Walaupun perang Rusia-Ukraine mempunyai kesan limpahan positif ke atas Malaysia dari segi hasil kerajaan, ia masih akan menyebabkan kesan negatif terhadap harga makanan, katanya.

‘’Kita telah pun melihat beberapa kesan ke atas harga makanan. Dari segi pendedahan kewangan, ia adalah kecil buat masa ini. Sudah pasti ia akan mewujudkan ketidaktentuan dan volatiliti dalam pasaran kewangan, bergantung kepada bagaimana keadaan itu berkembang,” katanya.

Shakira berkata, kenaikan inflasi akan menambahkan kelemahan kepada kumpulan berpendapatan rendah kerana mereka membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka untuk makanan serta utiliti.

Hasil tinjauan telefon Berfrekuensi Tinggi Bank Dunia (HiFy) mendapati walaupun selepas menerima bantuan kerajaan, lebih daripada 60 peratus isi rumah berpendapatan rendah dengan pendapatan bulanan RM4,000 ke bawah mempunyai sumber kewangan yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas mereka pada akhir 2021.

Sementara satu perempat daripada isi rumah melaporkan mempunyai simpanan yang hanya akan bertahan selama tiga bulan atau kurang, manakala 16 peratus tidak mempunyai simpanan langsung.

Menurut laporan April 2022 Update Bank Dunia itu, kejutan semasa berkemungkinan besar akan meningkatkan kesukaran pasca-Covid sedia ada.

Kira-kira lapan juta isi rumah jatuh kembali ke dalam kemiskinan semasa pandemik itu, manakala firma serantau terus bergelut, dengan lebih 50 peratus daripadanya melaporkan tunggakan pembayaran pada 2021.

Laporan itu turut menyebut bahawa kerajaan yang berhutang, yang menyaksikan hutang mereka sebagai bahagian daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat sebanyak 10 mata peratusan sejak 2019, akan bergelut untuk menyediakan sokongan ekonomi.

“Kewangan yang ketat dan inflasi yang meningkat, sekurang-kurangnya satu mata peratusan melebihi jangkaan sebelumnya disebabkan oleh kejutan harga minyak sahaja, akan mengecilkan ruang untuk pelonggaran monetari.

”Dan bank yang terlalu terdedah dengan kredit sebagai bahagian KDNK kira-kira 10 peratus lebih tinggi daripada sebelum pandemik perlu menghadapi tekanan kewangan baharu dan peningkatan risiko kepada pinjaman,” kata laporan itu.

Di Malaysia, ruang fiskal juga dijangka kekal dikekang, mengehadkan ruang untuk dasar fiskal memainkan peranan pengagihan semula yang lebih besar.

”Jurang dalam sistem perlindungan sosial kekal/berterusan, meninggalkan beberapa kumpulan yang mudah terjejas seperti belia dan pekerja tidak formal.

”Selain itu, kejutan tiga kali ganda Covid-19, inflasi makanan dan banjir mungkin melemahkan daya tahan rakyat Malaysia yang miskin dan terdedah terhadap kejutan masa depan, dan seterusnya, meluaskan ketidaksamaan sosioekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia,” kata Bank Dunia.

Sehubungan itu, keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan dasar fiskal yang berkesan dan membangunkan perlindungan sosial yang inklusif seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dan Bajet 2022. – Bernama

Sumber