Baja ikan Aida dapat sambutan hangat

Baja ikan Aida dapat sambutan hangat

KANGAR – Bermula dengan modal tidak sampai RM200, kini seorang anak jati Kuala Perlis mampu menjana pendapatan lumayan melalui jualan baja ikan viral Aida Azizi untuk tanaman.

Menurut usahawan, Aida Ramli, 38, pada peringkat permulaan, dia hanya mampu menjual sekitar 20 kilogram (kg) baja ikan sebulan.

“Bagaimanapun, permintaan terhadap baja ikan ini makin meningkat hingga tempahan mampu mencapai sekitar tiga tan dalam tempoh seminggu sahaja.

“Alhamdulillah, baja ikan diusahakan sejak lima tahun lepas kini mula meraih perhatian umum hingga kini mampu terjual sehingga 12 tan dalam tempoh sebulan,’’ katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Menurutnya, baja ikan dihasilkan amat sesuai untuk aneka jenis tanaman termasuklah bunga, sayur dan buah kerana diperbuat daripada 100 peratus bahan organik.

Aida berkata, baja ikan berkenaan mampu menghasilkan pokok sihat dan bertenaga, malah mempercepatkan pendebungaan pokok tanpa sebarang bahan kimia.

“Alhamdulillah, saya kini memiliki 300 ejen di seluruh negara, sekali gus memudahkan pengguna mendapatkan baja ikan untuk tanaman yang diusahakan mereka,” katanya.

Dia juga sering menunjukkan kaedah penggunaan baja ikan melalui media sosial bagi memberi kefahaman kepada pengguna, sekali gus ia berjaya meyakinkan mereka untuk menggunakan produk tersebut.

Ujarnya, selain itu, sebuah nurseri pokok dikenali sebagai Aida Garden Nursery turut diusahakan di tepi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Perlis, Jalan Bukit, dekat sini.

“Jadi, orang awam boleh mendapatkan baja ikan ini di nurseri ataupun melalui platform dalam talian seperti Shopee dengan harga RM15 untuk sekilogram,” katanya.

Ujarnya, dia turut memiliki cawangan di Kuala Sungai bagi memudahkan pelanggan mendapatkan baja ikan dan tanaman yang diinginkan.

Sumber