JOZAN, duo komedi kegemaran ramai yang terdiri daripada Zizan Razak dan Johan, kembali semula ke layar perak dengan filem komedi terbaru, Baik Punya Ah-Long.
Setelah kejayaan filem-filem mereka sebelum ini, kali ini mereka membawa kelainan dengan watak ‘ah long’ yang menjalankan perniagaan pinjaman wang dalam konsep yang jauh berbeza daripada stereotaip biasa.
Filem ini dijangka membawa keseronokan yang tidak terhingga kepada penonton dengan gabungan humor luar biasa, jalan cerita yang segar, dan lakonan mantap daripada pelakon-pelakon terkenal tanah air.
Baik Punya Ah-Long, terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Petra Vision Works dan Golden Screen Cinemas, dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 12 September 2024.
Filem ini menampilkan persembahan menggeletek dari JOZAN yang sekali lagi membuktikan chemistry kuat mereka sebagai duo komedi terbaik Malaysia.
Menambah lagi kehangatan adalah gandingan pelakon handalan seperti Dato’ Afdlin Shauki, Liyana Jasmay, Adlin Aman Ramlie, Mia Sara Shauki, Adibah Noor, dan Chew Kinwah.
Penonton juga akan disajikan dengan penampilan istimewa pelakon-pelakon terkenal seperti Douglas Lim, Sangeeta Krishnasamy, Carmen Soo, dan ramai lagi, menjadikan filem ini satu tayangan yang tidak boleh dilepaskan.
Pengarah filem ini, Dato’ Afdlin Shauki, yang terkenal dengan karya komedi seperti Baik Punya Cilok, Papadom, dan Buli, sekali lagi mempamerkan kepakarannya dalam mengarahkan filem komedi yang mempunyai elemen persahabatan yang kuat.
Watak utama, Aloy dan Aley, digambarkan sebagai dua adik-beradik yang dipaksa oleh bapa angkat mereka untuk menceburi dunia perniagaan pinjaman wang, walaupun mereka tidak mempunyai sebarang pengalaman.
Namun, cabaran perniagaan mereka menjadi lebih rumit apabila bisnes mereka mengganggu kedudukan Lan Panda, seorang ah long yang lebih berpengaruh.
Unsur ‘brotherhood’ ini menjadi nadi kepada cerita, di mana JOZAN dengan sempurna menggambarkan keakraban dan kebersamaan antara dua watak utama.
Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif Baik Punya Ah-Long dan Ketua Astro Shaw, kekuatan utama filem ini adalah pada unsur komedi yang digarap dengan baik serta sokongan dari barisan pelakon komedi terbaik Malaysia.
Reaksi positif daripada peminat melalui treler filem dan klip promosi yang telah menerima lebih daripada 9.8 juta tontonan di media sosial membuktikan betapa besarnya keterujaan penonton terhadap kemunculan semula JOZAN.
“Kami percaya penampilan duo ini sentiasa dinantikan peminat. Selain komedi yang mencuit hati, elemen kekeluargaan dan nilai sosial turut diangkat dalam filem ini, menjadikannya lebih daripada sekadar hiburan semata-mata,” jelasnya.
Salah satu keunikan Baik Punya Ah-Long adalah penyertaan sebanyak 18 buah lagu yang dinyanyikan oleh barisan pelakon sendiri.
Lagu-lagu ini dijangka menambahkan lagi keceriaan dan kepelbagaian dalam penceritaan, menjadikan filem ini sebagai naskhah komedi yang penuh warna-warni.
Dengan tagline “Semua Boleh Settle,” filem ini mengajak penonton untuk ketawa sepuas-puasnya sambil mengikuti perjalanan penuh cabaran dua watak utama yang cuba mencari tempat mereka dalam dunia yang penuh dengan persaingan dan konflik.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Baik Punya Ah-Long yang pasti menggeletek hati anda di pawagam seluruh negara bermula 12 September 2024.
Bagi peminat yang ingin bertemu barisan pelakon, sesi jelajah akan diadakan di Terengganu pada 13 September dan Johor pada 14 September. Gunakan #BaikPunyaAhLong di media sosial untuk berkongsi pengalaman anda, dan ikuti perkembangan terbaru di platform media sosial Astro Shaw.
Filem ini dijangka bukan sahaja akan mengubati kerinduan peminat terhadap duo komedi JOZAN, tetapi juga meninggalkan impak yang mendalam kepada penonton.