Bahayakah asid borik yang dihadam?

Bahayakah asid borik yang dihadam?

ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB

Soalan 1:

DOKTOR, saya ada mendengar mengenai asid borik. Suatu ketika dahulu, banyak produk makanan seperti mi kuning dan bebola ikan akan ‘dipromosikan’ tidak mengandungi bahan itu. Sebenarnya apakah fungsi asid borik itu dalam makanan?

– INGIN TAHU, JAZLINA JAMIL, 28, KLANG

Jawapan:

PUAN, asid borik adalah sebatian yang terbentuk secara semula jadi yang mengandungi elemen boron, oksigen dan hidrogen.

Asid borik berwarna putih, tidak mempunyai bau dan hampir tidak mempunyai sebarang rasa. Ia kelihatan seperti garam biasa jika diproses dalam bentuk butiran atau kelihatan seperti bedak bayi jika diproses dalam bentuk serbuk. Untuk makluman puan, asid borik digunakan secara meluas dalam pelbagai jenis industri seperti kosmetik, farmaseutikal, pembuatan kaca, gentian kaca dan juga pengawet kayu bagi mengelakkan serangan serangga dan kulat.

Ia juga merupakan antara bahan yang terdapat dalam racun serangga dan cecair pencuci pakaian. Boron pula terhasil secara semula jadi dalam sumber makanan yang dikenali sebagai asid borik yang wujud dalam buah-buahan, sayuran berdaun, legum dan kekacang. Produk tenusu, ikan, daging dan bijirin juga mengandungi boron, namun jumlahnya amatlah sedikit. Tidak perlu bimbang kerana kandungan boron atau asid borik dalam jenis makanan berkenaan terbentuk secara semula jadi dan kuantitinya amat sedikit.

Pengambilan selamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menganggarkan bahawa purata pengambilan harian bagi populasi awam adalah sekitar 1.2 miligram boron daripada sumber pemakanan. Ia masih berada pada kadar atau julat purata pengambilan yang selamat bagi individu dewasa iaitu antara 1.0 ke 13 miligram boron setiap hari seperti yang dicadangkan oleh WHO.

Dalam pada itu, ia pernah digunakan dalam industri makanan terutamanya dalam pembuatan mi kuning dan bebola ikan atau bebola makanan laut. Asid borik digunakan kerana fungsinya yang mampu memberikan kekenyalan pada tekstur produk makanan.

Selain itu, ia juga digunakan sebagai pengawet makanan. Asid borik sangat popular digunakan oleh peniaga ikan untuk mengekalkan kesegaran ikan atau makanan laut yang lain. Menurut kajian yang pernah dilakukan pada tahun 2008 oleh Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, asid borik telah ditemui dalam kesemua sampel makanan yang diuji iaitu mi kuning, bebola ikan, mi wantan dan kuetiau.

Kepekatan kandungannya pula berbeza mengikut jenis makanan. Mi kuning mencatatkan kandungan asid borik yang tertinggi berbanding sampel makanan lain.

Soalan 2:

Kadar berlebihan pengawet boleh menjejaskan tubuh

Adakah asid borik selamat untuk dimakan dan diberi kebenaran untuk digunakan dalam produk makanan di Malaysia? Apa akan berlaku jika saya memakan makanan yang mempunyai kandungan asid borik berkenaan?

– INSAN MUSYKIL, ZAIDI KHAIRULDIN, 31, KUALA LUMPUR

Jawapan: Tuan, Peraturan Makanan 1985 hanya membenarkan penggunaan bahan pengawet tertentu dalam produk makanan. Bahan pengawet yang dibenarkan adalah sulfur dioksida, asid benzoik dan asid propionik. Itu termasuklah natrium, kalium, garam kalsiumnya, natrium nitrat, natrium nitrit, kalium nitrat dan potassium nitrit.

Begitu juga dengan jenis-jenis antimikrobial iaitu klorin dioksida dan hidrogen peroksida yang digunakan dalam produk makanan tertentu. Asid borik tidak termasuk dalam senarai di atas. Oleh itu ia tidak dibenarkan untuk digunakan sebagai pengawet makanan. Jika termakan makanan yang tinggi dengan kandungan asid borik, antara gejala yang mungkin dialami adalah loya, muntah, cirit-birit, dermatitis, fungsi buah pinggang yang tidak normal dan disfungsi peredaran darah akut.

KADAR kandungan asid borik yang tinggi dalam makanan boleh menjejaskan kesihatan.

KADAR kandungan asid borik yang tinggi dalam makanan boleh menjejaskan kesihatan.

Lebih parah, ia juga boleh menyebabkan kematian namun, bergantung kepada tahap asid borik yang telah diserap oleh tubuh badan. Pendedahan tubuh terhadap kadar asid borik yang tinggi boleh menjejaskan bahagian perut, usus, hati, buah pinggang dan otak. Pada masa kini, penggunaan asid borik mungkin tidak lagi berlaku dalam skala yang besar.

Bagaimanapun, sentiasa berhati-hati memandangkan ada individu yang tidak beretika masih mengintai peluang kecil untuk mengaut keuntungan berganda. Semak senarai bahan kandungan pada label produk terlebih dahulu sebagai langkah awal pencegahannya.

***Jawapan artikel disemak oleh panel perubatan Hello Doktor.

ANEKDOT

Kegunaan asid borik:

Asid borik (H3BO3) adalah antiseptik, racun perosak dan racun kulat yang lemah. Ia lazim digunakan untuk kawalan serangga, pengawet kayu dalam industri perabot, industri kaca dan bidang perubatan. Penggunaan asid borik sebagai pengawet adalah dilarang seperti dalam Akta Makanan Malaysia 1983 dan Peraturan Makanan 1985.

Sub-Seksyen 13 (1) Akta Makanan 1983 menyatakan bahawa “mana-mana orang yang mempersiapkan atau menjual apa-apa makanan yang mempunyai atau atasnya apa-apa bahan yang beracun, berbahaya atau yang memudaratkan kesihatan melakukan suatu kesalahan boleh disabitkan suatu gentian yang tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya”.

Makanan yang mengandungi asid borik adalah jenis makanan pasta, sebagai contoh:

– Mi kuning

– Kuetiau

– Laksa

– Loh se fun

– Mi wantan

– Mi hokkien

– Bihun

– Pembalut popia

– Bak chang

Sumber: Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *