Bahaya merkuri dalam kosmetik

Bahaya merkuri dalam kosmetik

KOSMETIK adalah rakan karib bagi kebanyakan wanita. Ia hadir dalam pelbagai bentuk untuk pelbagai kegunaan. Antaranya adalah krim pelembap, krim pemutih, pencuci muka, sabun, maskara, gincu, pemerah pipi, bedak asas dan lain-lain.

Produk kosmetik ditakrifkan sebagai ‘bahan atau persediaan untuk digunakan pada bahagian luaran tubuh badan manusia dan berfungsi untuk membersih, mewangi, memperbaiki, mengubah penampilan atau mencantikkan, menghilangkan bau badan atau memelihara dan menjaga dalam keadaan yang baik’.

Selain daripada bahan aktif, terdapat pelbagai bahan lain terkandung dalam produk kosmetik seperti bahan pengawet, pewarna, bahan pemekat, pelicin dan lain-lain. Bagaimanapun ramai pengguna kurang sedar atau kurang ambil tahu berkaitan isi kandungan yang terkandung dalam produk-produk kosmetik.

Adakah bahan-bahan dalam produk kosmetik itu mengandungi bahan-bahan terlarang dan boleh memudaratkan kesihatan pengguna?

Antara bahan atau isi kandungan yang dikhuatiri memberi kesan memudaratkan kepada tubuh manusia adalah raksa atau dikenali juga sebagai merkuri.

Merkuri adalah bahan yang kerap kali dijumpai di dalam produk-produk seperti krim dan sabun pencerah kulit, alit mata, pencuci muka dan maskara. Merkuri akan menghalang pembentukan melanin pada kulit seterusnya menyebabkan warna kulit bertambah cerah.

Merkuri dalam produk kosmetik hadir dalam dua bentuk sama ada dalam bentuk organik dan bukan organik. Merkuri dalam bentuk organik selalunya digunakan sebagai bahan pengawet dalam kosmetik seperti alit mata, pencuci muka dan maskara. Sementara itu, merkuri dalam bentuk bukan organik pula digunakan dalam krim dan sabun pencerah kulit.

Bahaya Merkuri

Pendedahan kepada merkuri boleh memberi kesan mudarat terhadap kesihatan. Merkuri boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, kerosakan sistem saraf dan boleh mengganggu perkembangan otak bayi dalam kandungan atau bayi yang baru lahir.

Selain daripada kerosakan buah pinggang, merkuri bukan organik dalam produk pencerah kulit juga boleh menyebabkan ruam, penyahwarnaan dan parut pada kulit serta mengurangkan pertahanan kulit untuk melawan jangkitan bakteria dan kulat. Kesan lain merkuri juga dikaitkan dengan gejala keresahan dan kemurungan.

Dalam beberapa kajian di Afrika menunjukkan, pengguna produk kosmetik yang mengandungi bahan merkuri bukan organik dalam krim pencerah kulit selama satu hingga sembilan bulan dikesan menunjukkan gejala ‘sindrom nefrotik’ iaitu suatu keadaan di mana kandungan protein yang tinggi dalam air kencing. Pengurangan gejala sindrom nefrotik ini dapat dilihat dalam hampir tiga per empat daripada golongan wanita setelah mereka berhenti menggunakannya.

Selain daripada itu, individu lain atau bayi juga boleh mendapat pendedahan kepada merkuri di rumah. Pendedahan ini boleh berlaku melalui sedutan wap merkuri daripada krim yang mengandungi merkuri dan dipakai oleh ahli kaum keluarga lain dalam rumah.

Bayi juga boleh mendapat keracunan raksa melalui mulut sekiranya bayi tersebut menyentuh kulit ibunya yang menggunakan produk kosmetik yang mengandungi merkuri. Bayi yang menyentuh krim itu tadi akan memasukkan jari atau tangannya ke dalam mulut seterusnya menyebabkan merkuri tersebut masuk ke dalam tubuh dan memberi kesan.

Merkuri yang digunakan dalam sabun atau bentuk kosmetik lain secara amnya akan menjadi bahan kumbahan domestik apabila dibasuh dan seterusnya terlepas ke alam sekitar.

Merkuri itu kemudiannya akan bertukar kepada bentuk ‘metil-merkuri’ dan akhirnya boleh memasuki sistem kitaran makanan manusia melalui ikan yang tercemar dengan metil-merkuri ini. Wanita hamil yang mengambil ikan yang tercemar dengan metil-merkuri pula akan memindahkan bahan tersebut kepada bayi dalam kandungannya yang boleh menyebabkan gangguan dalam perkembangan otak dan saraf bayi tersebut.

Sumber: FB Kementerian Kesihatan Malaysia



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *