Bagaimana tahan diri daripada marah?

Bagaimana tahan diri daripada marah?

TENTU kita biasa melihat orang suka marah-marah kan? Atau anda sendiri seorang pemarah?

Sebaiknya cubalah kawal diri daripada bersikap sedemikian. Bukan saja menyebabkan orang lain terkena tempiasnya, silap hari bulan kesihatan diri sendiri terjejas!

Luahkan perasaan marah anda kepada mereka yang anda marah dengan tegas, yakin dan terkawal. Sekiranya anda tidak mampu berbuat demikian, luahkan perasaan anda kepada mereka yang anda percayai boleh membantu atau luahkan dalam bentuk tulisan, lukisan dan aktiviti konstruktif yang berfaedah.

Bagaimana anda menahan perasaan marah?

Elakkan dari memikirkan perkara yang berkaitan dan alihkan pemerhatian anda kepada perkara lain. Ini bertujuan untuk mengubahkan perasaan marah kepada sesuatu yang lebih membina.

Bahaya yang timbul akibat menahan kemarahan berpanjangan adalah risiko untuk mendapat penyakit seperti darah tinggi, sakit gastrik, sakit badan, tekanan mental atau kemurungan.

Bagaimana untuk menenangkan diri anda?

Anda boleh menenangkan diri dengan mengawal perilaku dalaman dan luaran seperti:

Tarik nafas panjang perlahan-lahan dan lepaskan.

Perlahan atau hentikan pergerakan anda supaya kadar degupan jantung dapat diturunkan.

Senyum dan relakskan otot-otot anda.

Kenal pasti pemikiran negatif yang tidak rasional dan alihkan kepada pemikiran positif yang membina.

Kemudian, juruskan perhatian anda terhadap pemikiran yang positif.

Berjenaka untuk menghilangkan perasaan marah.

Beralih dari persekitaran dan punca yang menyebabkan anda marah.

Banyakkan berzikir mengikut agama masing-masing.

Apakah yang boleh anda lakukan untuk mencegah daripada perasaan marah?

Kenali diri anda sendiri. Buat catatan pemantauan dalam buku mengenai bila dan bagaimana anda dilanda perasaan marah dan cara anda mengatasinya. Apabila anda telah mengenali diri anda, anda mampu melakukan perkara-perkara untuk mengurangkan perasaan marah.

Dari buku catatan, anda akan dapat mengetahui:

Situasi yang boleh menyebabkan anda berasa marah.

Kategori orang yang boleh menyebabkan anda berasa marah.

Cara yang paling berkesan untuk menangani perasaan marah.

Anda boleh berlatih menangani kemarahan dengan kawan atau ahli keluarga supaya sentiasa bersedia mengatasi kemarahan apabila ia benar- benar berlaku.

Kerap bersenam boleh mengurangkan kemungkinan anda mengalami perasaan marah kerana ia dapat melepaskan tekanan dan meningkatkan daya ketahanan diri.

Bagaimana menangani kemarahan orang lain?

Kenal pasti perasaan marah mereka.

Tenangkan diri anda.

Dengar dan jangan cepat mencelah.

Tinggalkan tempat tersebut jika anda rasakan keselamatan anda terancam.

Setiap orang mempunyai perasaan marah, ini adalah normal. Bagaimanapun kemarahan yang tidak terkawal boleh menjurus kepada keganasan. Ini boleh berlaku sekiranya sering terdedah kepada persekitaran yang ganas seperti konflik keluarga, penderaan, pendedahan kepada permainan video atau tayangan yang berunsur ganas secara berterusan.

Ditambah pula kurangnya pengetahuan, kemahiran dan bimbingan untuk mengatasi perasaan marah.

Kenal pasti diri anda dan kawallah kemarahan bagi mengelakkan keganasan.

Sumber: http://www.myhealth.gov.my/



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *