AppAsia yakin lebih banyak bank, firma audit guna eConfirm.my

AppAsia yakin lebih banyak bank, firma audit guna eConfirm.my

SEBANYAK sembilan buah bank dan beberapa firma audit tertinggi negara telah menggunakan platform eConfirm.my yang diperkenalkan oleh AppAsia Berhad (AppAsia) pada Jun lepas.

Syarikat itu menjelaskan, mereka yakin lebih ramai lagi firma audit berdaftar akan menggunakan eConfirm.my kerana platform berkenaan dijamin selamat dan mudah digunakan.

“Antara bank yang menggunakan ialah Maybank, RHB, Hong Leong Bank, Alliance Bank, OCBC manakala firma audit pula ialah Deloitte Malaysia, PricewaterhouseCoopers, Ernst & Young, KPMG, Baker Tilly International, BDO dan Crowe Horwath.

“Ini telah memberi keyakinan kepada AppAsia untuk menawarkan perkhidmatan secara eksklusif kepada beberapa projek platform digital yang berpotensi dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

eConfirm.my merupakan platform pengesahan bank elektronik pertama yang dijalankan secara komersial di Malaysia.

Ia menyasarkan juruaudit berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan bank beroperasi di Malaysia, termasuk semua bank komersial, bank Islam, bank pelaburan dan institusi kewangan pembangunan.

Perkhidmatan berkenaan dikendalikan oleh anak syarikat AppAsia iaitu Extol Corporation Sdn Bhd dengan kerjasama Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Sehingga kini, kenyataan itu menjelaskan, terdapat 391 firma di bawah MIA yang telah menandatangani untuk menggunakan eConfirm.my.

“Kami menjangkakan 2020 adalah tahun untuk mencipta kejayaan setelah syarikat berjaya melancarkan eConfirm.my pada Jun lepas bagi membantu juruaudit dan bank dalam membuat pengesahan secara meluas dalam industri,” katanya.



Sumber