Apabila kejahatan dibalas kebaikan…

Apabila kejahatan dibalas kebaikan…

“HIDUP tidak selalunya indah. Langit tak selalunya cerah.”

Itu bait-bait lirik lagu kumpulan nasyid popular, Hijjaz dalam lagu bertajuk Lukisan Alam.

Bukan sahaja lirik lagu tetapi juga pernyataan itu sering diungkapkan ramai orang di sekeliling kita, bukan?

Ya, memang dalam hidup ini bukan semua momen indah perlu kita lalui tetapi ada juga saat-saat sukar yang terpaksa kita tempuhi.

Walaupun, sejuta kebaikan kita lakukan akan ada orang yang membenci.

Begitu juga walau kita ikhlas membantu tetapi ada insan yang mengeji dan mencaci usaha kita.

Malah, ada juga yang membalas kebaikan dengan kejahatan.

Bukan mudah untuk memuaskan hati orang.

Apa pun, kita jangan pula membalas semua kejahatan itu dengan kejahatan juga.

Sebaliknya, balaslah kejahatan itu dengan kebaikan.

ALLAH SWT mengajarkan umatnya berbuat kebaikan. Insya-ALLAH ia akan melembutkan hati yang keras.

Jika ada yang mengata kita di belakang mahupun di hadapan sekalipun, maafkanlah mereka.

Balaslah dengan perkataan yang lembut.

Jika ada yang mengunci mulut dan enggan bercakap, tegurlah orang itu dengan kasih sayang.

Percayalah, kebaikan dan kasih sayang akan melembutkan hati yang keras.

Dalam hal ini, kita boleh mencontohi sikap Rasulullah SAW.

Baginda SAW berbuat baik kepada orang kafir yang tidak henti-henti menganiaya baginda.

Namun, kasih sayang dan akhlak mulia yang ditunjukkan oleh baginda itu akhirnya dapat mengubah hati mereka untuk memeluk agama Islam.

Diceritakan satu kisah Rasulullah SAW bersama pengemis Yahudi yang buta.

Si pengemis itu mencari-cari baginda apabila beliau merasakan bukan Nabi SAW yang menyuapkannya makan seperti pada hari-hari biasa.

Abu Bakar RA menangis sambil berkata kepada pengemis itu: “Aku memang bukan orang yang biasa datang setiap hari memberimu makan. Aku adalah salah seorang daripada sahabatnya.

“Beliau tidak akan datang lagi ke sini untuk memberimu makan.”

Mendengar hal itu, pengemis itu menangis dan berkata: “Apa salahku sehingga dia sudah tidak mahu menemuiku lagi? Sampaikan permintaan maafku sehingga dia mahu mendatangiku lagi…”

Abu Bakar RA membalas: “Orang yang mulia itu telah tiada. Beliau sudah meninggal dunia dan akulah yang akan menggantikan beliau. Aku adalah Abu Bakar, sahabat Muhammad SAW. Baginda adalah orang yang setiap hari menyuapimu…”

Semakin deraslah air mata si pengemis buta tatkala mendengar kata-kata itu daripada Abu Bakar.

Dia menyesal dan kemudian berkata: “Benarkah demikian? Selama ini, aku selalu menghinanya, memfitnahnya dan melecehkan harga dirinya. Dia tidak pernah memarahiku sedikit pun. Dia tetap mendatangiku setiap hari dengan membawa makanan dan dengan sabar menyuapiku. Dia begitu mulia.

“Kalau begitu, aku mahu kamu menjadi saksi. Aku ingin mengucapkan kalimah syahadah dan aku memohon keampunan ALLAH,” ujar pengemis buta itu.

Subhanallah, begitu sekali balasan atas kebaikan Nabi SAW terhadap pengemis tadi walaupun baginda selalu dihina.

Begitu mulianya akhlak nabi. Bagaimana pula dengan kita?

(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *