Apabila dengar bunyi petir, kilat sabung menyabung…

Apabila dengar bunyi petir, kilat sabung menyabung…

SEJAK penghujung bulan lalu, bermulanya musim hujan di negara kita yang adakalanya disertai dengan ribut petir terutama pada waktu petang dan malam.

Tatkala hujan, kita digalakkan berdoa kerana ketika itu ALLAH SWT sebenarnya sedang menurunkan rahmat-NYA.

Bagaimana pula jika kita terdengar bunyi kilat atau petir? Apakah ada doa khusus?

Sebelum menjawab persoalan tersebut, kita perlu memahami bahawa kilat atau petir merupakan salah satu daripada tanda kerahmatan dan kebesaran ALLAH SWT.

Ini kerana, ia mampu menggerunkan jiwa dan hati dengan kekuatannya.

Bahkan, apabila kita sedang tidur lena dan dalam keadaan tenang sekalipun, pasti kita akan terjaga apabila mendengar bunyi petir yang menggerunkan hati.

Daripada Abdullah bin Umar RA berkata: “Apabila Rasulullah SAW mendengar guruh atau kilat, baginda akan berkata: “Ya ALLAH! Janganlah ENGKAU membunuh kami dengan kemarahan-MU dan janganlah ENGKAU binasakan kami dengan azab-MU serta ampunilah kami sebelum daripada itu.” (Riwayat al-Tirmizi)

Dalam sebuah hadis lain, daripada Abdullah bin Zubair RA, beliau meninggalkan percakapan apabila mendengar petir dengan berkata: “Maha suci ALLAH yang DIALAH juga yang disucikan oleh guruh dan para malaikat dengan bertasbih memuji-NYA kerana takut kepada-NYA.” Kemudian beliau berkata lagi: “Sesungguhnya ini adalah peringatan yang keras untuk penduduk bumi.” (Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ dan Imam al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)

Menurut Imam al-Nawawi, orang yang mendengar guruh (petir) disunatkan agar mengucapkan tasbih sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwatta’ dengan sanad yang sahih.

Apapun, kita dituntut untuk sentiasa berdoa atau mengingati-NYA dalam setiap keadaan agar dijauhkan daripada segala bala bencana.

Mudah-mudahan ALLAH SWT akan menjadikan hamba-hamba-NYA terselamat daripada bala bencana atau musibah.

(Sumber: Irsyad Al-Hadith Siri ke-402: Doa Ketika Kilat atau Petir, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *