Angkasa yakin mampu capai perolehan RM400 juta tahun ini

Angkasa yakin mampu capai perolehan RM400 juta tahun ini

Abdul Fattah (dua dari kanan) bergambar bersama Johan Anugerah Khas: Pelaksanaan Projek Lawatan Pelancongan Koperasi Sekolah Terbaik 2022 iaitu Koperasi SMK Batu Sepuluh Lekir Perak Berhad dalam satu majlis yang diadakan di Shah Alam.

Abdul Fattah (dua dari kanan) bergambar bersama Johan Anugerah Khas: Pelaksanaan Projek Lawatan Pelancongan Koperasi Sekolah Terbaik 2022 iaitu Koperasi SMK Batu Sepuluh Lekir Perak Berhad dalam satu majlis yang diadakan di Shah Alam.

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yakin koperasi sekolah mampu mencapai perolehan RM400 juta pada tahun ini, berikutan keadaan yang kian memulih daripada pandemik Covid-19.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, sasaran tersebut dibuat kerana hampir separuh daripada koperasi sekolah telah terlibat dalam menawarkan barangan keperluan asas dengan harga kompetitif melalui Projek Barangan Asas (BA100).

“Penawaran barangan asas seperti beras, gula, minyak masak, tepung dan lain-lain membolehkan koperasi ini meluaskan sasaran pelanggan kepada komuniti sekolah termasuk para guru, ibu bapa dan masyarakat setempat.

“Saya amat yakin apabila lebih banyak koperasi sekolah menyertai Projek BA100, maka tidak mustahil jumlah perolehan akan dipertingkatkan dengan lebih banyak pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada masa sama, Abdul Fattah turut berkongsi mengenai perolehan koperasi sekolah sehingga 31 Disember 2021, yang mana ia telah menyumbang sebanyak RM318.61 juta dengan aset bernilai lebih RM416.86 juta.

“Diikuti syer atau yuran berjumlah RM29.63 juta dan keanggotaan berjumlah melebihi 1.97 juta individu.

“Seterusnya, data interim sehingga Jun 2022 pula menunjukkan koperasi sekolah mempunyai anggota seramai 1.98 juta individu dengan aset sebanyak RM414.56 juta, diikuti syer atau yuran sebanyak RM29.45 juta dan perolehan sebanyak RM211.61 juta,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, fokus koperasi sekolah bukan sahaja dari sumbangan perolehan tetapi juga kepada penjanaan modal insan.

“Angkasa mahu mahu melahirkan individu yang mampu berdikari, mempunyai ciri usahawan dan kepimpinan tinggi serta mampu mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat selari dengan prinsip yang diamalkan oleh gerakan koperasi,” katanya.

Menurutnya, perkara itu merupakan antara inti pati penting yang perlu diterapkan dalam diri para pelajar agar mereka dapat menjadi pemimpin koperasi berwibawa pada masa akan datang.

Sumber