Angkasa sasar 3,000 outlet BA100 tahun ini

Angkasa sasar 3,000 outlet BA100 tahun ini

KOTA BHARU – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan 3,000 outlet koperasi akan berada di bawah Program Pembekalan Barangan Asas 100 (BA100).

Timbalan Presidennya, Datuk Kamaruddin Ismail berkata, sehingga kini pihaknya mempunyai 1,061 koperasi yang menyertai program BA100 di seluruh Malaysia dan jumlah tersebut akan berkembang dari semasa ke semasa selaras dengan trend sambutan yang ditunjukkan semua pihak.

“BA100 merupakan satu program bersepadu yang diperkenalkan oleh Angkasa dalam usaha berterusan untuk menggerakkan perniagaan koperasi terutama membantu dan menawarkan penjualan barangan asas dengan harga berpatutan.

“Diharap dengan adanya program seperti ini kita dapat membantu meringankan kos sara hidup ahli selain menawarkan harga antara lima hingga 10 peratus lebih murah daripada pasaran biasa,” katanya kepada media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau hadir pada Program Pembangunan Perniagaan Koperasi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) melalui inisiatif BA100.

Kamaruddin berkata, hasil jualan juga sangat positif dan untuk dua bulan pertama tahun ini, RM153,700 berjaya diperoleh melibatkan outlet yang sudah berdaftar.

“Kita yakin sambutan selepas ini lebih positif memandangkan kita bekalkan barangan terus dari pengilang.

“Ini akan membantu meringankan lagi kos-kos yang perlu ditanggung selain daripada menyediakan harga yang murah dan berpatutan.

“Taklimat untuk sekolah-sekolah ini akan diadakan secara berterusan melibatkan semua kawasan di seluruh negara,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *