Anak autisme jadi inspirasi dalam perniagaan

PUTARAN hidup Siti Noraishah Ismail, 33, begitu mencabar. Meskipun sukar, dia yang disapa Aishah tetap tabah merentas liku-liku pancaroba itu.

Wanita jelita itu tidak pernah mengeluh waima bersungut dengan garisan qada dan qadarnya. “Kalau saya cakap saya susah, ada yang hidup lebih susah daripada saya. Kesusahan ini saya anggap ujian daripada ALLAH SWT,” katanya kepada Inspirasi Femina dalam sesi wawancara di studio Sinar Karangkraf, Shah Alam baru-baru ini.

Daripada pandangan pertama, penulis mencongak, karakter Aishah seorang yang lemah lembut. Tutur katanya sopan. Namun, apabila satu demi satu perkataan yang terpacul daripada mulutnya, membuatkan penulis menyimpulkan bahawa wanita yang berada di depan mata ini seorang wanita yang cekal.

Bicara kami semakin rancak selepas beberapa minit. Sejarah mengenai dirinya terlalu pendek untuk penulis coretkan dalam ruangan ini. Dengan demikian, penulis menjemputnya untuk berbicara lanjut.

“Selepas berkahwin, segalanya memang indah belaka. Namun, pada satu hari yang tidak disangka-sangka iaitu sekitar tahun 2000, perniagaan online yang dijalankan suami saya merudum teruk. Kami berdepan krisis kewangan yang sangat serius, kami jatuh terduduk,” kata usahawan kecantikan ini.

Ujar Aishah, kesan daripada musibah itu sungguh menyedihkan. Beliau terpaksa pulang ke kampung halaman kerana dihimpit masalah kewangan.

“Saya terpaksa tebalkan muka pinjam wang daripada ibu dan ayah. Segannya tak terkata,” imbau anak kelahiran Mersing, Johor itu.

anak

anak

Anak austisme

Kisah sayu Aishah tidak terhenti setakat di situ sahaja. Plot seterusnya memang terlalu pahit untuk ditelan. Kali ini, beliau dan suaminya, Mohd Suhaimi Umar sekali lagi diduga apabila mereka dikurniakan seorang anak istimewa autisme.

“Pada mulanya kami memang tak tahu anak kedua kami, Nur Airis Aleesya autisme. Namun, apabila dia lambat bercakap sepertimana kanak-kanak lain yang seusia dengannya, kami mula bimbang.

“Bila Aleesya berusia 3 tahun, seorang rakan suami menegur perwatakan anak saya yang kuat tantrum dan gemar menghantuk kepala ke dinding. Selepas didiagnosis, anak kami disahkan autisme,” katanya.

Aishah berterus terang, tatkala menerima berita itu, kehidupan menjadi gelap-gelita seketika. Sukar saya nak terima hakikat bahawa Aleesya yang comel itu rupa-rupanya anak istimewa.

“Saya tertanya-tanya, kenapa saya yang diuji sedemikian rupa? Apa salah saya? Setiap hari saya menangis dan menangis. Memang saya ambil masa yang lama untuk terima ketentuan Ilahi ini.

“Sampai satu tahap, saya penat dan tak tahu nak buat apa. Akhirnya saya reda dan percaya ini ujian ALLAH buat saya dan pasti ada hikmah di sebaliknya,” ujarnya sambil mengesat air mata yang mengalir laju membasahi pipinya.

Aisyah berkata, beliau mengambil keputusan menghantar Aleesya yang kini berusia enam tahun bertemu pakar dan mengikuti kelas terapi selain menghantarnya ke sekolah khas autisme.

Keajaiban berlaku apabila selepas dua bulan, anak istimewa itu sudah boleh berdikari sendiri. Yang paling menggembirakan, Aleesya sudah boleh menyebut perkataan mama dan papa.

“Ya, itu perkataan pertama disebutnya. Kami tak akan lupa sampai bila-bila kerana ia saat yang sangat kami nantikan sejak dia dilahirkan lagi,” katanya sambil memberitahu kos menguruskan anak itu tinggi mencecah kira-kira RM2,000 sebulan.

eksima

eksima

Anak-anak jadi asbab untuknya berjaya

Dia sekali lagi diduga apabila anak bongsunya, Muhamad Ariq Aryan mengalami ekzema yang teruk ketika dilahirkan. Ekzema ialah sejenis penyakit kulit yang menyebabkan radang, gatal, kering, mengelupas, kemerahan dan bersisik.

“Ekzemanya sangat teruk hingga raut wajahnya terjejas. Mukanya jadi merah dan kerap berdarah bila terkena jari atau kukunya.

“Jadi, kami kena jaga dia 24 jam, kena bedung tangan dan badannya supaya tangan dia tidak menyentuh muka. Alhamdulillah, sekarang kulit wajahnya semakin pulih selepas pelbagai rawatan dilakukan,” katanya. Aishah menghela nafas lega.

Dengan nada hiba, dia mengakui sesungguhnya dua anak yang bermasalah ini sebenarnya petanda rahmat untuknya. Mengapa dia berkata demikian?

Wanita hebat itu berkata, kos rawatan kedua-dua anaknya yang tinggi hingga di luar kemampuannya telah menjadi inspirasi kuat buatnya untuk bekerja lebih keras.

“Ya, dugaan untuk anak-anak ini jadi asbab buat saya dan suami hingga kami berada di kedudukan yang sangat baik sekarang. Mereka bagi inspirasi buat kami,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Bahasa Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

aishah

aishah

Menurut Aishah, pada tahun 2015, beliau dan suami menjalankan perniagaan kecantikan yang memberi tumpuan kepada rawatan kulit buat wanita.

“Syukur, perniagaan kami semakin diterima. Melalui perniagaan ini juga, kehidupan kami lebih baik,” kata ibu kepada tiga cahayamata itu.

Berbekalkan pengalaman berharga lalu, beliau turut memasang azam mahu menubuhkan sebuah sekolah khas buat kanak-kanak autisme menggunakan sedikit keuntungan daripada hasil perniagaannya.

“Jika dulu saya memberontak kerana dianugerahkan anak-anak istimewa, kini tidak lagi. Reda itu satu anugerah. Dugaan buat kami sebagai pencetus kejayaan.

Kepada ibu bapa yang mempunyai nasib serupa seperti saya, jangan menafikan kehadiran mereka dan jangan sesekali berasa malu memiliki anak seperti ini.

“Jangan juga pentingkan diri sendiri, hantar mereka ke pusat pendidikan khas sama ada kerajaan mahupun swasta. Percayalah mereka sebenarnya bawa rezeki untuk kita,” katanya.

biru

biru



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *