Allianz General mudahkan urusan tuntutan pelanggan terjejas banjir kilat

Allianz General mudahkan urusan tuntutan pelanggan terjejas banjir kilat

KUALA LUMPUR – Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) melalui inisiatif tuntutan pantas banjir bertindak membantu 53 pelanggan syarikat itu yang terjejas banjir kilat di sekitar Lembah Klang, awal minggu ini.

Trak tunda Allianz Road Rangers turut menyediakan bantuan penundaan kepada 76 kenderaan jenis kereta persendirian dan motosikal, termasuk 25 pelanggan yang mempunyai perlindungan banjir dalam polisi insurans.

Ketua Tuntutan untuk Allianz General, Damian Williams berkata, dua trak pacuan empat roda bersama sebuah caravan tuntutan dan satu pasukan pelaras telah digerakkan untuk membantu pelanggan di beberapa lokasi terbabit.

“Banjir kini merupakan kejadian yang biasa berlaku dan ia adalah sebuah cabaran yang besar buat penanggung insurans.

“Tetapi kita harus sentiasa bersedia, bertindak pantas dan berkhidmat untuk pelanggan kami apabila mereka memerlukannya.

“Kali ini kami mempunyai 60 trak tunda Allianz Road Rangers yang sentiasa bersedia di Lembah Klang untuk memastikan kami boleh segera berkhidmat untuk pelanggan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar Damian, aset penyelesaian tuntutan banjir pantas Allianz General dilengkapi tujuh trak pacuan empat roda, sebuah caravan tuntutan dan sebuah pasukan pelaras seluruh negara selain 250 unit armada Allianz Road Rangers.

Tambahnya, untuk penyelesaian tuntutan pantas, pelanggan boleh hubungi 1-800-22-5542 dan seorang pelaras akan dihantar untuk meninjau hartanah yang terkesan dalam tempoh 24 jam bagi membantu tuntutan.

“Untuk pemegang polisi individu (seperti Smart Home Cover), syarikat menyediakan penyelesaian tuntutan penuh atau pembayaran sementara dalam tempoh lima hari selepas lawatan dari pelaras.

“Pelanggan yang memiliki insurans kebakaran (jalur komersial), akan menerima pembayaran dalam masa lima hari setelah menerima kunjungan dari pelaras, di mana penyelesaian tuntutan penuh dibayar antara 21 hingga 28 hari setelah menerima kunjungan dari pelaras.

“Namun sekiranya atas sebab apa pun, syarikat tidak dapat menyelesaikan tuntutan sebelum hari yang ke-28, maka pembayaran sementara kedua akan dibuat sebelum hari ke-30,” jelas Damian.

Sumber