Al-Sajdah formula bentuk Keluarga Malaysia: Mufti

Al-Sajdah formula bentuk Keluarga Malaysia: Mufti

TASEK GELUGOR – Surah Al-Sajdah dipilih untuk dibaca oleh lebih 500 peserta yang hadir ke Malaysia #QuranHour Peringkat Pulau Pinang 2022 yang diadakan di Masjid Jamek Tasek Gelugor di sini pada Selasa.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, surah tersebut dipilih kerana ia mengandungi formula istimewa dalam membentuk Keluarga Malaysia yang teguh bersama melalui sujud dan infak.

Menurutnya, pemilihan Surah Al-Sajdah adalah bersesuaian sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-65 yang akan disambut seluruh negara pada Rabu.

“Selari dengan tema Hari Kebangsaan 2022 iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama, surah ini mempunyai formula dalam membentuk mukmin sejati melalui sujud dan infak.

“Formula ini mampu menjadi panduan dan solusi dalam membina sebuah keluarga, organisasi dan negara berbudi serta penyayang yang diredai ALLAH SWT,” katanya selepas merasmikan Malaysia #QuranHour Peringkat Pulau Pinang 2022 di sini pada Rabu.

Program tersebut melibatkan tazkirah, bacaan doa, sujud sejadah serta bacaan Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5 dan Surah Al-Sajdah ayat 1 hingga 30 yang diketuai oleh Imam Surau Al-Muhsinin Taman Sepadu, Mohd Hanif Abdullah.

Wan Salim berkata, pembentukan mukmin sejati yang berakidah mampu membentuk sebuah negara yang kuat dan dikagumi.

“Jika negara kita kuat, maka tiada lagi yang akan merendahkan dan menghina Islam dan Rasul kita. Dalam erti kata lain, kitalah yang akan mengembalikan keagungan dan kegemilangan umat Islam di Malaysia.

“Dalam surah ini juga menekankan empat perkara utama yang perlu kita sebagai umat Islam lakukan menjadi seorang mukmin sejati iaitu membaca al-Quran, bersujud, mendirikan solat tahajud dan berinfak di jalan yang diredai ALLAH SWT,” katanya.

Surah Al-Sajdah dipilih untuk dibaca dalam Malaysia #QuranHour Peringkat Pulau Pinang 2022 yang diadakan di Masjid Jamek Tasek Gelugor.

Surah Al-Sajdah dipilih untuk dibaca dalam Malaysia #QuranHour Peringkat Pulau Pinang 2022 yang diadakan di Masjid Jamek Tasek Gelugor.

Beliau berkata, empat perkara itu perlu dilakukan dengan istiqamah oleh umat Islam sekiranya ingin kebahagiaan di dunia dan pahala terbaik disisi-Nya.

Dalam pada itu, Wan Salim berharap agar semua umat Islam memberi perhatian terhadap budaya membaca al-Quran dengan adanya program ilmiah seperti Malaysia #QuranHour.

“Program pada hari ini amat disokong yang mana ia menunjukkan umat Islam semakin memberi perhatian kepada kitab suci al-Quran. Dari perspektif Islam, al-Quran merupakan satu-satunya wahyu ALLAH SWT yang masih kekal.

“Al-Quran juga sentiasa relevan dengan perkembangan zaman. Oleh itu, saya mengharapkan umat Islam memberi perhatian terhadap al-Quran dalam kehidupan seharian agar menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Mohd Taufek Abdul Rahman berkata, pihaknya amat berbesar hati apabila ramai yang menyertai program selama satu jam setengah itu walaupun ia diadakan pada hari bekerja.

“Syukur apabila ramai yang hadir kerana mengikut sasaran, hanya 200 sahaja yang hadir kerana kali ini, Malaysia #QuranHour diadakan pada hari bekerja. Bagaimanapun, jumlah yang hadir pada hari ini lebih daripada yang disasarkan iaitu melebihi 500 orang.

“Program kali ini kita tidak terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang terlalu ketat seperti tahun sebelum ini, namun peserta masih diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang majlis berlangsung,” katanya.

Sumber