Al-Quran solusi masalah umat Islam

Al-Quran solusi masalah umat Islam

Al-QURAN perlu dijadikan sebagai panduan kepada cara menyelesaikan masalah dan panduan hidup manusia khususnya mereka bergelar orang Islam.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, syaratnya kitab suci itu perlu dibaca, difahami dan diamalkan.

“Saya beri contoh kalau dahulu masa kecil kita hanya membaca al-Quran tanpa memahami maksud ayat di dalamnya. Sebenarnya tanpa kefahaman ini kita akan seperti apa yang berlaku sekarang.

“Bila orang komen tentang Islam kita mula marah tetapi dalam masa yang sama, kita sendiri tidak memahami apa yang ada dalam al-Quran. Sebab itu World #QuranHour ini bukan program tahunan sebaliknya satu gerakan atau misi menjadikan manusia membaca, memahami dan mengamalkan. Jika kita faham secara automatik cara berfikir dan bercakap juga akan berbeza,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia TV1 Radio Televisyen Malaysia semalam.

Mengulas mengenai kempen World #QuranHour yang bakal berlangsung pada 13 Mei ini yang membawa misi Surah Ar Rahman, beliau berkata, surah berkenaan menyentuh tentang peranan al-Quran menceritakan tentang nikmat bagaimana yang didustakan.

“Dengan kata lain, Islam itu agama perdamaian dan al-Quran itu penyelesaian kepada masalah manusia. Kita lihat sahaja di negara kita apabila kerajaan laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), udara menjadi bersih, sungai kembali kebiruan dan alam menjadi damai.

“Selama ini hubungan dengan manusia tidak baik, dengan ALLAH juga begitu. Sebagai orang Islam kita perlu reboot supaya hidup berlandaskan al-Quran,” katanya.

Menurutnya, kempen yang memasuki tahun keenam sedikit berbeza berbanding sebelum ini kerana tidak mengumpulkan orang ramai di masjid sebaliknya ikut serta di rumah atau di mana sahaja mereka berada.

“Kali ini sedikit berbeza kerana kalau kita lihat program sebelum ini dibuat di masjid di mana ramai yang hadir tetapi ramai juga yang tidak hadir. Kali ini disebabkan oleh sekatan pergerakan oleh kerajaan ramai yang akan memberikan fokus kepada kempen ini.

“Misi kita bukan sekadar menjayakan kempen ini setiap tahun tetapi mahu menjadikan supaya orang ketagih dengan al-Quran dan sentiasa mahu membacanya,” katanya.

Jelasnya, wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia pada hari ini memberikan kesan berbeza kepada manusia.

“Saya rasakan selepas ini cara kita berkeluarga akan lain, hubungan antara suami isteri juga lain dan hubungan dengan kakitangan di pejabat juga lain. Kalau dahulu kita selalu tertekan tetapi dengan kebenaran bekerja dari rumah, saya boleh kata saya lebih kenal dan hargai isteri saya.

“Saya rasa jika semua orang sedar tentang perkara ini, sudah pasti mereka akan menyokong kempen World #QuranHour dan bagi orang Islam sudah pasti mereka sedar hakikat bahawa kita perlu memasukkan al-Quran ke dalam hati, jantung dan otak kita. Dengan itu nilai keluarga, masyarakat dan organisasi akan berubah,” katanya.

Tambahnya lagi, jika semua orang memahami Ar Rahman pastinya mereka akan bersyukur dengan nikmat diberikan dan rajin bersedekah.



Sumber