Al-Quran pengubat spiritual pesakit

Al-Quran pengubat spiritual pesakit

SHAH ALAM – Pemberian sumbangan naskah al-Quran terjemahan kepada Institut Kanser Negara (IKN) mendapat maklum balas baik daripada warga hospital itu terutama pesakit.

Pengarah Institut Kanser Negara (IKN), Dr Mohd Anis Haron berkata, selain perubatan moden, pesakit kanser juga memerlukan pengubat spiritual.

Menurutnya, membaca al-Quran dan terjemahan akan membuatkan pesakit kanser rasa lebih tenang.

“Setiap Khamis malam dan pagi Jumaat, pihak hospital memasangkan audio Surah Yassin dan Surah Al-Kahf. Berdasarkan maklum balas pesakit, mereka berasa lebih tenang dan bersemangat.

“Dengan adanya al-Quran terjemahan ini, pesakit dapat meluangkan masa membaca dan mendalami terjemahan,” katanya kepada Sinar Harian.

IKN antara hospital yang menerima sumbangan naskah al-Quran terjemahan yang diwakafkan orang ramai melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

Dr Mohd Anis menerima sumbangan wakaf al-Quran daripada WUIF.

Dr Mohd Anis menerima sumbangan wakaf al-Quran daripada WUIF.

Sementara itu Ketua Unit Hal Ehwal Islam IKN, Ustaz Madya Madon berkata, pihaknya menyantuni pesakit secara berhemah agar dapat mendekatkan diri mereka dengan membaca al-Quran.

Menurutnya, pihak hospital turut menyediakan sudut bacaan yang bersesuaian kepada pesakit bukan Islam.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), petugas yang kebiasaannya membaca Surah Yassin seminggu sekali kini memanfaatkan al-Quran wakaf di tempat kerja melalui Program Mari Mengaji sempena Ramadan,” katanya.

Sementara itu, di LUMUT – Sebanyak 160 naskhah al-Quran telah diserahkan kepada petugas barisan hadapan Hospital Seri Manjung (HSM), di sini kelmarin.

Penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, al-Quran yang diwakafkan melalui Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu ditempatkan di #QuranCorner untuk digunakan oleh petugas, pesakit dan pelawat.

“WUIF berharap petugas barisan hadapan yang sedang bertungkus-lumus menangani pandemik Covid-19 menjadikan al-Quran sebagai petunjuk serta kekuatan untuk terus berbakti kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.



Sumber