Al-Quran harus jadi teman paling akrab

Al-Quran harus jadi teman paling akrab

SHAH ALAM – Al-Quran adalah kalam ALLAH SWT yang harus menjadi teman paling akrab seseorang Muslim dalam mengemudi kehidupannya.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, kempen World #QuranHour dapat mencipta tabiat untuk orang Islam berinteraksi dengan al-Quran.

“Kempen ini adalah untuk mencipta tabiat supaya orang Islam berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham, hayati dan amal.

“Apabila dia buat perkara tersebut, dengan sendiri akan berubah cara dia dan ekosistem pun akan berubah.

“Kenapa saya sebut ekosistem? Seperti sekarang sesetengah pengurus dan pemimpin Islam menipu. Mereka tidak faham agama Islam. Ada orang ambil rasuah dan menipu sebab tidak malu.

“Ini berlaku kerana ekosistem itu membenarkan perkara yang tidak betul tetapi jika semua orang Islam sudah ada al-Quran dan nilai dalam hatinya, akan tahu pemimpin, suami isteri bahawa itu, ini tidak betul dan tidak boleh pilih. Sistem nilai itu akan berubah,” katanya semalam.

Hussamuddin berkata demikian pada sesi temu bual bersama rakan sinergi World #QuranHour mengenai penganjuran World #QuranHour 1441H: Reboot Global Harmony di Kompleks Karangkraf di sini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam, Datuk Dr Mohmed Razip Hasan dan Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.

Program tahunan WUIF berinteraksi dengan al-Quran, World #QuranHour yang memasuki tahun kelima penganjurannya berlangsung serentak di seluruh dunia hari ini.

Kempen itu diadakan lebih satu jam dan akan bermula dari jam 12 tengah hari dengan membawa misi Surah Ar-Rahman ayat 1 hingga 78 sebagai solusi mengembalikan keharmonian global Reboot Global Harmony.

Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, World #QuranHour merupakan satu kempen untuk melahirkan satu perubahan dalam sistem nilai manusia sejagat.

“Jadi ekosistem akan berubah dengan sendirinya, orang Islam akan menjadi lebih bertanggungjawab. Dalam al-Quran jelas dihuraikan tentang peranan infak dan sedekah, jadi tiada orang Islam akan berlapar.

“Orang masjid akan bantu satu kariah, roh Quran kena ada. Tanggungjawab masjid jaga satu kariah, bukan menjaga duit tabung. Itu ekosistem kita nak tukar dalam misi MengQURANkan Bangsa dan MengIKHLASkan Ummah.

“Bangsa yang ada al-Quran dalam hatinya dia akan ikhlas, menjadi orang menjadi integriti dan berjiwa. Ini dari segi teori tapi ALLAH nyatakan dalam al-Quran, jika kamu ikut, ini yang akan berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpendapat tempoh ‘berkurung’ yang masih belum berakhir akibat pandemik Covid-19 bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia memberi impak berganda terhadap World #QuranHour tahun ini.

“ALLAH ‘kurungkan’ manusia lapan minggu dan bagi sesetengah negara sudah hampir tiga bulan. Jadi (sepanjang) tempoh masa terkurung ini, dia punya god fearing itu adalah kerana Covid-19.

“Jadi sebenarnya kita hendak lebih kepada impaknya. Jadi insya-ALLAH saya rasa (akan) berbeza dan oleh kerana tahun ini seluruh dunia juga berkurung, jadi impak itu akan lebih meluas,” katanya.



Sumber