Al-Quran asas penyatuan ummah

Al-Quran asas penyatuan ummah

KUALA TERENGGANU – Program World #QuranHour menjadi asas penyatuan ummah tanpa mengambil kira perbezaan kedudukan, latar belakang, ideologi, fahaman politik, ras mahupun pemimpin serta rakyat.

Timbalan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ridzuan Hashim berkata, tema World #QuranHour tahun ini, ‘Solusi Cabaran Sejagat’ diangkat sebagai komitmen bersama seluruh dunia untuk melakukan transformasi diri ke arah yang lebih baik.

“Al-Quran adalah titik temu kebangkitan dan penyatuan ummah hingga lahirnya sebuah dunia yang berbudi dan penyayang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian World #QuranHour 2019 peringkat negeri Terengganu di Dewan Teater, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu (PPAT), di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Marzialina Mohamed dan Pengarah Lembaga Muzium Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah.

Marzialina (kiri) menghadiri Program World #QuranHour yang diadakan di PPAT.

Marzialina (kiri) menghadiri Program World #QuranHour yang diadakan di PPAT.

Ridzuan yang selaku Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu memimpin bacaan surah al-Kahfi yang dibaca secara serentak sempena program itu.

Beliau juga mengupas bacaan surah tersebut menerusi aktiviti tadabbur surah al-Kahfi sempena program itu.

Dalam pada itu, Ridzuan berkata, program yang berskala besar itu dijangka memberi impak yang besar kepada umat sejagat untuk kembali kepada al-Quran.

“World #QuranHour dapat memupuk kembali budaya orang Melayu yang pada satu ketika dahulu amat rapat dengan kitab al-Quran yang diguna sebagai asas pembentukan anak-anak dalam membentuk keperibadian mulia.

“Ia juga dapat mengembalikan umat Islam kepada asas agama dan membentuk rohani yang lebih baik di mana pengisian kerohanian ini dapat membentuk tingkah laku serta akhlak individu dalam menaikkan imej Islam di mata dunia,” katanya

Antara peserta yang mengambil bahagian dalam Program World #QuranHour yang diadakan serentak hari ini do PPAT.

Antara peserta yang mengambil bahagian dalam Program World #QuranHour yang diadakan serentak hari ini do PPAT.

Beliau berkata, penghayatan dan membudayakan al-Quran dalam kehidupan sebenarnya tidak terikat dengan tempat-tempat tertentu dan bukan sahaja boleh dilakukan di rumah, tempat kerja atau sekolah bahkan di tempat awam.

“Program World #QuranHour yang digerakkan ini adalah satu kempen yang menyasarkan peningkatan interaksi individu dengan al-Quran melalui konsep baca, faham dan amal.

“Ia juga merupakan kempen membentuk sebuah landasan solidariti ummah seluruh dunia di bawah naungan al-Quran dengan mengambil semangat dan keberkatan 10 hari terakhir Ramadan,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *