Aktif #QuranCorner ke lokasi terpilih seluruh negara

Aktif #QuranCorner ke lokasi terpilih seluruh negara

SHAH ALAM – Program Wakaf Quran yang digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Kumpulan Karangkraf terus mendapat sambutan orang ramai dengan wakaf terkumpul setakat jam 9 malam tadi berjumlah 19,018 naskhah al-Quran.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, agihan pusingan kedua bagi wakaf al-Quran fasa pertama untuk negeri-negeri di seluruh negara sudahpun bermula hari ini.

Menurutnya, pengagihan pusingan kedua bagi mengaktifkan #QuranCorner diperluaskan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), kem tentera dan lokasi terpilih seluruh negara.

“Agihan pusingan pertama yang berlangsung pada minggu lepas untuk negeri-negeri di Semenanjung dan kebanyakannya melalui Jabatan Kesihatan Negeri dengan agihan ke wad-wad di hospital, klinik kesihatan dan pusat kuarantin.

“Namun jika ada hospital atau klinik kesihatan yang berminat untuk mengaktifkan #QuranCorner atau Troli Ibadah di semua wad boleh hubungi kami menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-3803635 (seperti tertera di poster) untuk memohon stok tambahan. Atau boleh ke pejabat kami di Pusat Operasi dan Pengumpulan Wakaf di WUIF, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam,” katanya di sini hari ini.

Dalam masa sama, Marhaini berkata, pihaknya masih mengharapkan sumbangan wakaf al-Quran daripada orang ramai.

Menurutnya, jika sebelum ini WUIF banyak memfokuskan kepada petugas dan pesakit tetapi akhir-akhir ini pihaknya mula menyedari kes-kes yang melibatkan tekanan mental dan spiritual dalam masyarakat juga memerlukan perhatian.

“Kami berharap agihan al-Quran melalui #QuranCorner dapat membantu meluruskan emosi dan spiritual lebih ramai pesakit,” katanya.

Orang ramai yang ingin mewakafkan al-Quran boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan itu menerusi akaun Maybank Islamic Warisan Ummah Ikhlas Foundation bernombor 564276516031 dengan meletakkan rujukan Wakaf Quran.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *