Aiskrim gula apong kian popular

Aiskrim gula apong kian popular

KUANTAN – Kedai aiskrim jenama tempatan, Ice Cream Berlemok Gula Apong meluaskan rangkaiannya melalui pembukaan sembilan cawangan dalam tempoh tujuh bulan.

Tiga daripada cawangan itu diurus syarikat AF Food Beverage Sdn Bhd milik pengasasnya, Ahmad Firdaus Ahmad Fadzil, 34 manakala tujuh lagi beroperasi di bawah rakan niaga.

Ahmad Firdaus berkata, cawangan pertamanya dibuka di Pusat Perniagaan Balok di sini pada 11 Julai tahun lalu.

Menurutnya, berdasarkan sambutan yang begitu menggalakkan, dia memberanikan diri membuka cawangan seterusnya di Jalan Bukit Ubi dan Taman Tas di sini.

“Ketika ini kita ada cawangan di Kemaman dan Kuala Nerus, Terengganu; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Kota Bharu, Kelantan; Pekan dan terbaharu di Kempadang di sini.

“Tiga lagi cawangan di bawah rakan niaga dalam proses ubah suai kedai dan salah satunya bakal beroperasi dalam sebuah pusat beli belah di Terengganu.

“Bagi meluaskan lagi rangkaian kedai aiskrim premium ini, kami sasarkan untuk membuka 20 lagi cawangan sendiri tahun ini di seluruh negara,” katanya.

Ahmad Firdaus sentiasa mengambil peluang untuk meluaskan rangkaian kedai bagi membina dan mengukuhkan jenama Ice Cream Berlemok Gula Apong yang diasaskan tahun lalu.

Ahmad Firdaus sentiasa mengambil peluang untuk meluaskan rangkaian kedai bagi membina dan mengukuhkan jenama Ice Cream Berlemok Gula Apong yang diasaskan tahun lalu.

Ahmad Firdaus berkata, ketika ini terdapat tiga perisa aiskrim yang diperkenalkan di kedainya iaitu original gula apong Sarawak, premium vanila berlemok Madagascar dan dark chocolate berlemok Belgium selain pilihan kombo campuran gula apong dengan dark chocolate dan gula apong dengan vanila.

Menurutnya, aiskrim perisa original gula apong Sarawak menjadi produk ‘signature’ kedainya dan mendapat sambutan tinggi dalam kalangan penggemar makanan itu.

“Bagi memastikan kualiti dan ketulenan rasa gula apongnya, bahan mentah diperoleh khas dari pembekal di Sarawak.

“Tepung aiskrim dibekalkan sebuah kilang di Johor manakala proses aduan dan pembuatan dibuat sendiri di cawangan kedai untuk dijual,” katanya.

Ahmad Firdaus yang turut menjalankan perniagaan menjual dan membaiki komputer melalui beberapa cawangan kedainya berkata, walaupun masih baru dan tiada pengalaman dalam perniagaan makanan sebelum ini, dia yakin perniagaan itu mampu terus dikembangkan.

Ahmad Firdaus bersama dua pekerja di kedai Ice Cream Berlemok Gula Apong cawangan Jalan Bukit Ubi di sini.

Ahmad Firdaus bersama dua pekerja di kedai Ice Cream Berlemok Gula Apong cawangan Jalan Bukit Ubi di sini.

Bagaimanapun katanya, kos untuk membuka sesebuah cawangan agak tinggi mencecah RM180,000 termasuk untuk mesin, ubah suai kedai dan kelengkapan serta bahan mentah.

“Melihat kepada perkembangan semasa perniagaan ini, walaupun kosnya agak tinggi namun tempoh untuk balik modal dan mendapatkan keuntungan lebih cepat.

“Setakat ini saya tidak menghadapi masalah malah perniagaan aiskrim ini berjalan lancar dengan semua bekalan mentah sentiasa mencukupi,” katanya.

Sumber