AirAsia mula penerbangan sulung Kota Kinabalu-Kuala Terengganu

AirAsia mula penerbangan sulung Kota Kinabalu-Kuala Terengganu

KUALA NERUS – Syarikat Penerbangan AirAsia melancarkan penerbangan sulung menghubungkan Kota Kinabalu-Kuala Terengganu pada Ahad.

Penerbangan sulung pesawat AK5310 yang membawa 59 penumpang pertama berlepas dari Kota Kinabalu jam 3.15 petang dan tiba di Kuala Terengganu jam 5.20 petang.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pertambahan laluan penerbangan ke Terengganu dijangka akan merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri itu.

“Pemilihan Terengganu antara laluan baharu AirAsia membantu memeriahkan sektor pelancongan domestik kerana ia memberikan lebih banyak pilihan kepada pelancong tempatan atau antarabangsa untuk melancong di Malaysia.

“Kami akan terus menyokong AirAsia dan berharap untuk bekerjasama pada masa akan datang bagi mempromosikan lagi industri ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menyambut ketibaan penumpang pertama yang menaiki pesawat itu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri turut mengemukakan cadangan bagi menambah laluan baharu dari Kuching, Pulau Pinang serta mengembalikan semula penerbangan dari Senai, Johor ke Terengganu.

Sementara itu, Ketua Komersial AirAsia, Nur Liyana Mahizzan berkata, penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu berlepas pada setiap Ahad dengan tambang promosi sehala serendah RM128.

Katanya, tempahan harga promosi boleh dibuat bermula sekarang hingga 14 Februari 2022 bagi tempoh perjalanan dari 13 Februari hingga 30 September 2022.

“Selain laluan Kota Kinabalu-Kuala Terengganu, AirAsia juga telah melancarkan laluan baharu Kuching-Langkawi, Johor Bahru-Bintulu dan Pulau Pinang-Sibu pada awal Januari sebagai sebahagian usaha memacu pelancongan domestik.

“Setakat ini AirAsia memiliki 45 laluan penerbangan domestik menghubungkan bandar-bandar di Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sumber