CADANGAN AirAsia Group Bhd untuk menjual 25 pesawat kepada firma pelaburan swasta global yang berpangkalan di AS, Castlelake LP akan memberi laluan kepada syarikat penerbangan kos murah itu memberi tumpuan kepada perniagaan digitalnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, penjualan itu adalah bagi menjana keuntungan bagi semua pesawat AirAsia pada harga yang tinggi dan mengelakkan risiko.
Ia juga membolehkan syarikat penerbangan itu mengembalikan tunai kepada pemegang saham dan melabur dalam perniagaan digital baharunya.
Beliau berkata, Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16 tidak memberi kesan ke atas kedudukan tunai AirAsia.
“Saya menghargai syarikat dengan penjanaan tunai, walaupun dengan standard tersebut dan jika anda menggunakan keuntungan dan kerugian (P&L) untuk menganalisis kesan standard baharu MFRS 16, impak tersebut adalah kira-kira RM35 juta setahun. Tidak begitu ketara,” katanya menerusi tweet semasa mesyuarat agung luar biasa syarikat itu, semalam.
Sebelum ini, CIMB Equities Research berpendapat bahawa unjuran nisbah hutang bersih syarikat penerbangan kos rendah itu bagi tahun Kewangan (FY) 2019 mencecah 145 peratus ekuiti selepas permodalan pajakan operasi, dengan MFRS 16 berkuat kuasa 1 Januari 2019.
Fernandes berkata, langkah pelupusan pesawat juga memperlihatkan tindak balas berbeza oleh firma-firma penyelidikan.
“Menjual pesawat juga satu lengkah bijak memandangkan penganalisis mengatakan kami membeli banyak pesawat dan beberapa penganalisis pula kini mengatakan kami kini ada banyak pesawat pajakan,” katanya.
AirAsia sebelum ini mengumumkan ia akan menjual 25 pesawat kepada Castlelake LP membabitkan bayaran sebanyak RM3.2 bilion. -Bernama