AirAsia akan selesaikan terbitan hak RM974.5 juta

AirAsia akan selesaikan terbitan hak RM974.5 juta

AIRASIA Group Bhd (AAGB) akan menyelesaikan terbitan hak boleh lepas kepada pemegang saham sedia ada selepas penyenaraian Sekuriti Hutang Islam Tidak Bercagar Boleh Tebus Boleh Tukar (RCUIDS) dan waran pada Jumaat ini.

Syarikat itu akan dapat mengumpul RM974.5 juta sebagai suntikan kuat untuk menyokong strategi pengumpulan dana AirAsia Group secara keseluruhan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, terbitan hak yang diumumkan pada Rabu merupakan komponen penting dalam keseluruhan strategi pengumpulan dana pihaknya, yang menyokong operasi semula perjalanan udara merentasi ASEAN pada 2022.

“Kami telah meneruskan penerbangan di semua pasaran utama kami secara beransur-ansur dan berharap untuk kembali kepada tahap pra-Covid-19 bagi laluan popular pada tahun baharu ini. Di samping peningkatan kadar vaksinasi, prosedur ujian dan pendidikan yang lebih baik di semua pasaran kami.

“Ia juga menunjukkan keyakinan pelabur yang berterusan dalam strategi pemulihan keseluruhan kami termasuk transformasi digital yang telah menerima sokongan menggalakkan melalui pelbagai inisiatif pengumpulan dana,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, syarikat penerbangan itu turut memperoleh kelulusan daripada Danajamin Nasional Bhd untuk pinjaman terjamin 80 peratus sehingga RM500 juta, menunjukkan sokongan padu untuk strategi transformasinya menjadi lebih daripada sebuah syarikat penerbangan dalam era digital.

Fernandes berkata, pihaknya kini berjaya mencapai pengumpulan dana sehingga lebih RM2.5 bilion, menyediakan mudah tunai yang kukuh untuk meningkatkan operasi sehingga tahun hadapan dengan operasi syarikat dijangkakan lebih mampan dan terus memacu nilai pemegang saham.

“Memandangkan transformasi digital kami terus mendapat momentum yang kukuh, kami berharap untuk mengumpul dana baharu bagi airasia Super App yang berkembang pesat, cabang logistik Teleport dan cabang kejuruteraan serantau kami, Asia Digital Engineering (ADE) dalam masa terdekat,” katanya.

Terbitan hak tersebut termasuk RCUIDS selama tujuh tahun dengan nilai nominal RM0.75 setiap satu, ditambah waran boleh cerai percuma, berdasarkan dua RCUIDS dengan satu waran bagi setiap enam pegangan saham AAGB.

Sebagai komponen utama inisiatif pengumpulan dana AAGB, terbitan hak ini akan membolehkan AAGB menyokong pelbagai segmen di bawah syarikatnya, termasuk tetapi tidak terhad kepada, modal kerja dan kos operasi lain yang ditanggung akibat pandemik Covid-19 dan kos yang diperlukan untuk meningkatkan operasi susulan pemulihan perjalanan antarabangsa, selain pembiayaan untuk pelbagai unit perniagaan digital AirAsia. – Bernama

Sumber