Agrobank salur RM240,000 semai ilmu pertanian kepada pelajar

Tengku Ahmad Badli Shah (tiga dari kiri) bersama Ketua Penolong Pengarah Kanan (Sektor Kurikulum TVET) Bahagian Pendidikan dan Latihan Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia, Hafidzah Omar (dua dari kanan) melancarkan Program Rakan Tani Muda Agrobank yang berlangsung di Malam Apresiasi Media Agrobank pada Jumaat.

Tengku Ahmad Badli Shah (tiga dari kiri) bersama Ketua Penolong Pengarah Kanan (Sektor Kurikulum TVET) Bahagian Pendidikan dan Latihan Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia, Hafidzah Omar (dua dari kanan) melancarkan Program Rakan Tani Muda Agrobank yang berlangsung di Malam Apresiasi Media Agrobank pada Jumaat.

SHAH ALAM – Agrobank menerusi Program Rakan Tani Muda Agrobank memperuntukkan RM240,000 kepada 80 sekolah dengan masing-masing menerima RM3,000 sebagai usaha menerap dan menyemai ilmu pertanian di kalangan pelajar.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, program berkonsepkan pendidikan pertanian itu bagi menyokong usaha dijalankan oleh pelajar, guru serta pihak pengurusan sekolah.

“Bagi menggalakkan lagi penglibatan murid dalam bidang pertanian di sekolah maka Pertandingan Rakan Tani Muda Agrobank digarap untuk mempergiatkan lagi aktiviti pertanian dan perkebunan di sekolah-sekolah rendah di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan adalah selaras dengan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 di mana Agrobank mempersiapkan generasi muda sebagai pelapis dalam mendepani cabaran industri agro selain sebagai pemangkin keterjaminan makanan negara.

Ujarnya lagi, pertandingan Rakan Tani Muda Agrobank akan berlangsung selama empat bulan dan dijangka bermula pada Jun depan melibatkan 80 sekolah rendah dari seluruh negara bagi mencari juara keseluruhan di peringkat kebangsaan.

Sementara itu, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, seramai lima wartawan dan empat organisasi media telah menerima anugerah atas sumbangan dan sokongan terhadap Agrobank menerusi liputan berita terbanyak sepanjang tahun 2022 pada majlis Malam Apresiasi Media Agrobank.

Lima wartawan terbaik yang menerima Anugerah ‘Sidekick Salute’ Agrobank ialah Norshahzura Mat Zuki dari Sinar Harian; Hazwan Faisal Mohamad (Berita Harian); Juani Munir Abu Bakar (Utusan Malaysia); Noorazura Abdul Rahman (Harian Metro) dan Azanis Shahila Aman (New Straits Times).

Katanya, setiap penerima anugerah berkenaan membawa pulang wang tunai RM500, plak kemenangan dan sijil penghargaan.

Selain itu, empat organisasi media yang menerima Anugerah ’Spotlight’ Agrobank adalah Harian Metro bagi kategori Media Bahasa Melayu Terbaik; The Star (Media Bahasa Inggeris Terbaik); RTM (Media TV & Radio Terbaik) dan Berita Harian (Media Dalam Talian Terbaik).

Bagi anugerah tersebut, masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000, plak kemenangan dan sijil penghargaan.

Sumber