GOLONGAN perokok disaran menggunakan peluang yang ada untuk berhenti merokok sebelum terlambat.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata , ini susulan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan yang boleh dijadikan sebagai satu peluang oleh golongan perokok untuk memberhentikan tabiat buruk berkenaan.
Katanya kepada perokok, kasihanilah diri sendiri dan orang sekeliling.
“Semoga satu masa nanti, Malaysia akan menjadi negara yang sifar merokok,” katanya melalui Qalam Mufti Siri Ke-21: Kami menyokong larangan merokok di premis makanan.
Jelasnya, beliau amat menyokong larangan tersebut dan dalam isu merokok ini, beberapa maklumat terkini membuktikan bahawa tabiat itu tidak mendatangkan faedah kepada pelakunya.
“Merokok boleh memendekkan umur; Menurut anggaran, 3,500 dari setiap 10,000 kematian setiap tahun di Malaysia adalah berkaitan dengan merokok.
“Ini menunjukkan 35 peratus kematian adalah berpunca daripada merokok,” katanya.
Selain itu jelasnya, merokok juga menyebabkan penyakit kronik.
“Rokok boleh mengakibatkan gangguan pada tahap kesuburan lelaki, risiko strok (angin ahmar), serangan sakit jantung dan boleh mengakibatkan kanser paru-paru. Asap rokok mengeluarkan hampir 4,000 bahan kimia beracun dan 53 dari bahan kimia ini boleh mengakibatkan kanser,” jelasnya.
Tambahnya lagi, tabiat merokok menjadikan orang sekeliling turut terkena tempias penyakit disebabkan asap rokok.
“Pada hakikatnya, 60-75 peratus dari asap rokok akan disedut oleh orang yang tidak merokok.
“Berbanding dengan asap yang dihisap oleh perokok, asap yang disedut oleh perokok pasif mengandungi 2 kali ganda nikotin, 3 kali ganda tar, 5 kali ganda karbon monoksida dan 50 kali ganda bahan kimia merbahaya,” katanya.
Jelasnya lagi selain itu, merokok juga menjadikan seseorang pencemar, tidak berdisiplin malah mudah melakukan vandalisme.
“Tabiat seperti membuang habuk dan puntung rokok di merata-rata tempat seperti pinggan makan, lantai dan tangga laluan awam menjadikan kawasan awam kotor dan menyakitkan mata pengunjung lain. Begitu juga puntung rokok yang dibuang ke dalam lubang tandas,” katanya.
Jelasnya lagi, perokok adalah saudara syaitan kerana amalan membazir yang dilakukan. Perokok juga dianggap sebagai orang kaya yang memiskinkan diri sendiri.
“Dilaporkan, rakyat Malaysia membelanjakan RM1.5 bilion setiap tahun untuk membeli rokok.Kalaulah dibina masjid dengan kos 10 juta sebuah, nilai tersebut boleh menampung 150 buah masjid. Maka selesailah isu kekurangan masjid hanya dalam setahun,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, amalan merokok juga adalah permulaan kepada penagihan dadah.
“Rokok mengandungi nikotin yang menyebabkan ketagihan seperti juga heroin dan kokain. Menghisap rokok berulang kali boleh menyebabkan ketagihan. Dicatatkan, lebih kurang 50 peratus lelaki Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas adalah perokok manakala 20 peratus remaja adalah perokok.
Rekod menunjukkan 85 peratus remaja akhirnya menjadiketagih kepada rokok. Tembakau yang terdapat di dalam rokok mempunyai hubungkait yang rapat sebagai penyebab penyakit seperti barah dan penyakit jantung dan boleh terjebak dalam penyalahgunaan dadah,” tegasnya.
Oleh itu, katanya hentikanlah amalan merokok demi kebaikan kita semua.
“Hidup sihat tanpa asap rokok!,”.
‘Hukum merokok khususnya jenis rokok moden’
Haram : Ulama kontemporari yang mengatakan demikian adalah Dar Al-Ifta Mesir, Lajnah Fatwa Saudi, Lajnah Fatwa Azhar, Seluruh ahli persidangan Mencegah rokok ( persidangan di Madinah pada 2-5 Mac 1982), Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Sayyed Sabiq, Syeikh Ahmad Syurbasi, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaat, Syeikh Atiyyar Saqar. ( Akhbar al-Jumhuriyyah, 22 Mac 1979 ; Fatawa Muasiroh, 1/667; Al-Fatawa li Muhd Syaltut, Yasalunaka oleh Syurbasi dan Fiqh As-Sunnah.
Ulama silam yang mengatakan haram pula adalah Syeikh muhd alauddin haskafi al-hanafi, syeikh sulaiman al-Bujairimi as-Syafie, Syeikh Mustafa ar-Rihbani, Syeikh Ibrahim al-Laqqani al-Maliki dan ramai lagi. (Al-hukm as-Syar’ir fi at-Tadhin, Kumpulan Ulama, Kementerian
Kesihatan Sedunia, 1988, hlm 25-26)
Kumpulan ini semakin kuat mengharamkan apabila terdapat maklumat yang menyebut terdapat unsur arak dan racun di dalam rokok, maka ia adalah seperti darah dan bangkai yang diharamkan kerana unsur kotor dan racun (seperti nikotin, tar, alcohol methnol, karbon monoksida, ammonia dan lain-lain ) yang terkandung di dalamnya. ( Abu Ubaidah al-Mashur,
At-ta’liqat al-hisan dzayl tahqiq al-Burhan, hlm 28 ; Dr Abd Sabur as-Shahin, As-Sajayir Halalun am Haramun,hlm 34-35 )
Pada tahun 1962, Fakulti Perubatan Diraja Britain mengesahkan kesan buruk rokok terhadap kesihatan, pada tahun 1964 Fakulti Kedoktoran Amerika mengeluarkan satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya di akhbar yang menyebut “Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti, ia juga menyebut “rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit membunuh ” ( Rujuk Mahmud Nazim, At-Tibbun An-Nabawi Wal ‘Ilmi al-Jadid, 1/346 )
Maka dengan kenyataan-kenyataan ini Allah SWT menyuruh kita agar merujuk kepada ahli dalam sesuatu ilmu sebagaimana erti firman Allah SWT ” Maka hendaklah kamu bertanya kepada yang berpengalaman” (Al-Furqaan : 59 ) ; Justeru, pandangan pakar perubatan dalam hal ini tidak boleh diketepikan oleh para ulama dalam membuat sebarang fatwa.
Selain keburukan dari sudut kesihatan, ia juga boleh memudaratkan hubungan kemasyarakatan dengan sebab baunya yang kuat dan busuk. Hal ini tidak dibenarkan oleh Islam berdasarkan sabda Nabi SAW ertinya : ” Tiada boleh memberi mudarat dan membalas mudarat” ( Riwayat Malik, 1/122; Ad-Dar Qutni, 4/228; Al-Hakim 2/66 ; Sohih kata Hakim, dan di
atas syarat Muslim kata az-zahabi, Albani : Ia punyai banyak jalan yang menguatkan satu sama lain sehingga naik ke darjat Sohih)
Hadith lain pula menyebut : ” Sesiapa yang memakan dari pokok ini , berkata bawang merah, bawang putih maka janganlah mendekati masjid-masjid kami, sesungguhnya (bau yang busuk) itu menyakiti Malaikat sebagaimana ia menyakiti manusia” ( Riwayat Al-Bukhari, KItab
al-Azan, no 807 ; Muslim, Kitab Masajid wa Mawadi’ as-Solat, no 876 )
Sumber: Dr. Zaharuddin Abd Rahman