Adakah wajar berswafoto, ambil gambar orang sakit ketika menziarahinya?

Adakah wajar berswafoto, ambil gambar orang sakit ketika menziarahinya?

SEGELINTIR orang suka merakam gambar tidak kiralah ke mana sahaja mereka pergi untuk dijadikan sebagai kenang-kenangan.

Begitu pun, bukan semua tempat sesuai untuk kita mengambil gambar contohnya di kawasan perkuburan dan tandas yang perlu dielakkan sepertimana dianjurkan oleh agama Islam.

Namun, bagaimana pula apabila kita mengambil gambar orang sakit ketika melawatnya di hospital?

Adakah wajar berswafoto atau mengambil gambar orang yang sedang dirawat di hospital biarpun mendapat keizinan waris?

Sebelum menjawab persoalan itu, perlu difahami bahawa menziarahi orang sakit adalah sunah Nabi Muhammad SAW sepertimana disebutkan dalam sebuah hadis sahih Muslim.

Baginda SAW menyatakan, hak orang Muslim ke atas Muslim yang lain, salah satunya adalah menziarahi pesakit.

Para ulama menegaskan, hukum menziarahi pesakit bagi kaum kerabat terdekat seperti ayah, ibu dan seterusnya adalah wajib, manakala sahabat handai dan jiran tetangga hukumnya adalah sunah.

Adapun, dalam hukum mengambil gambar, maka ia perlu dilihat kepada beberapa perkara.

Jika pesakit mengizinkan, di samping memelihara aurat dan aibnya, maka ia diharuskan untuk tujuan hebahan dan bantuan.

Namun, jika tanpa izin, apatah lagi tersingkap aurat dan aib bagi pesakit, maka ia tidak diharuskan.

Namun, kemaslahatan dan kebaikan itu lebih besar jika tidak mengambil gambar pesakit kerana dibimbangi menimbulkan fitnah.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *