Adakah batal solat apabila kita melatah?

Adakah batal solat apabila kita melatah?

ADA sesetengah orang memang kuat melatah dan perkara itu bukannya sengaja dibuat-buat kerana beliau sememangnya mudah terkejut.

Namun, ketika sedang solat dan secara tiba-tiba melatah akibat terkejut oleh sesuatu, adakah batal solat kita?

Sebelum menjawab soalan itu, mari kita lihat dulu apa definisi melatah.

Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, melatah didefinisikan sebagai melakukan sesuatu atau mengeluarkan perkataan tanpa disedari kerana terperanjat dan sebagainya.

Dari sudut perubatan pula, ia dianggap sebagai penyakit saraf yang menyebabkan seseorang itu (biasanya perempuan) tidak sedar dengan apa yang dilakukannya, suka mengikut perbuatan atau suruhan orang tanpa disedari, mengeluarkan perkataan atau membuat sesuatu dengan tidak disengajakan kerana terperanjat.

Dalam meneliti hukum itu, perkara pertama yang perlu dilihat ialah solat iaitu perbuatan yang diperintahkan ALLAH SWT kepada hamba-hamba-Nya.

Solat mempunyai rukun, perkara sunat dan perkara yang membatalkan solat.

Secara asasnya, bercakap selain daripada bacaan-bacaan di dalam solat akan membawa kepada batalnya solat kita.

Syeikh Salim al-Hadrami menyenaraikan 14 perkara yang membatalkan solat iaitu antaranya menuturkan perkataan meskipun perkataan itu hanya terdiri daripada dua huruf.

Para fuqaha bersepakat, bercakap-cakap selain bacaan di dalam solat adalah membatalkan solat.

Begitu juga fuqaha daripada mazhab al-Syafie, al-Hanafi dan al-Hanbali yang menyatakan bahawa perkataan yang terdiri daripada dua huruf membatalkan solat.

Namun, mazhab al-Syafie menyatakan, perkataan yang dituturkan ketika solat kerana terlupa dan orang yang tidak tahu dengan pengharaman ini terutama yang baru memeluk Islam atau tinggal berjauhan dengan para ulama atau terlepas cakap yang mana perkataan itu secara uruf adalah ringan, maka dimaafkan.

Berdasarkan hujah itu, melatah adalah suatu penyakit yang mana perbuatan itu tidak disengajakan.

Melatah yang sedikit menurut uruf dan tidak berulang-ulang tidak membatalkan solat.

Ia termasuk di dalam golongan sabqu lisan iaitu orang yang terlepas cakap.

Namun, sepertimana yang disebutkan oleh mazhab al-Syafie, perkataan itu mestilah tidak berlebih-lebihan.

Sekiranya berlebih-lebihan, maka batallah solat itu.

Semoga kita mendapat taufik dan hidayah dalam menjalankan semua perkara yang disyariatkan ALLAH.

(Sumber: Al-Kafi #1248: Adakah Melatah Membatalkan Solat?, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *