74 usahawan Kedah intai peluang pasaran Asean Mall, Pattani

74 usahawan Kedah intai peluang pasaran Asean Mall, Pattani

ALOR SETAR – Seramai 74 usahawan dari negeri ini mencuba peluang memasarkan produk masing-masing di Asean Mall, Pattani, Thailand melalui program Gate To Global yang diusahakan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan SME Corp.

Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, melalui program tersebut, ia mampu mengetengahkan produk luar bandar sehingga ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, semua usahawan yang mendaftar pada program tersebut akan dinilai terlebih dahulu bagi memenuhi kriteria yang telah ditetapkan sebelum dipasarkan di Asean Mall, Pattani.

“Mara akan meneliti setiap syarat yang telah ditetapkan dan yang berjaya akan dihantar ke Asean Mall. Sebelum ini, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) juga turut melakukan program yang sama dengan menyaring 50 usahawan dan 10 daripada mereka kini telah berjaya memasarkan produk di sana.

“Peluang sebegini diberikan kepada semua usahawan luar bandar untuk membesarkan lagi pasaran produk mereka. Hal ini sekali gus akan dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan usahawan-usahawan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sebuah hotel dekat sini.

Sebahagian produk keluaran usahawan luar bandar di Kedah yang akan dinilai sebelum dibenarkan untuk pasaran di Asean Mall, Pattani.

Sebahagian produk keluaran usahawan luar bandar di Kedah yang akan dinilai sebelum dibenarkan untuk pasaran di Asean Mall, Pattani.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris; Pengarah Mara Kedah, Yahaya Sani dan Presiden Kumpulan Uniti Asia, Datuk Jamal Mohd Amin.

Mengulas lanjut Dr Ismail berkata, program tersebut digerakkan selepas melihat timbulnya beberapa isu keusahawanan seperti kurangnya pendedahan dan ilmu pengetahuan ke pasaran global.

Sehubungan itu katanya, usahawan perlu keluar dari kepompong kebiasaan untuk bersaing di peringkat luar dan bukan sekadar menjadi ‘jaguh kampung’.

“Saya secara peribadi mahu melihat masyarakat di luar bandar mempunyai minda usahawan kerana dengan perkara ini, mereka mampu hidup berdikari.

“Daripada sikap sebeginilah yang akan lahir kelompok-kelompok usahawan yang berdaya saing sehingga mereka tidak lagi bergantung kepada bantuan kerajaan.

“Jika kita berjaya melahirkan lebih ramai usahawan yang mempunyai minda sebegini adalah lebih bagus,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *