TEMPOH 26 tahun bukan mudah buat selebriti jelita, Zarina Zainuddin, 48, melayari bahtera rumahtangga dengan berkongsi suami bersama madunya. Sesungguhnya, kunci utama kebahagiaan mereka adalah sabar dan bertolak ansur.
Zarina dilihat seorang wanita yang sedar akan kedudukan dirinya yang berkongsi kasih, dia tidak pernah memonopoli kedudukannya sebagai isteri kedua. Sebaliknya, dia bersikap terbuka kepada madunya, Datin Seri Noorhasimah Mohd Noor.
Sebagai menghormati madunya, Zarina turut memanggilnya dengan panggilan kakak. Kedua-dua isteri kepada Datuk Seri Dr Abdul Raihan Wan Jaafar tinggal itu juga tinggal di kediaman yang terletak bersebelahan.
“Saya kena hormat dia kerana dia terlebih dahulu yang hadir dalam hidup suami sebelum saya. Adat menumpang kasih, saya kena tahu kedudukan diri saya.
“Saya tak pernah anggap suami hak milik saya sepenuhnya. Jadi bila tiba giliran dia di rumah kakak, saya tidak pernah mengganggu atau menghubunginya, melainkan jika ada kes-kes kecemasan,” katanya yang mengenali suami ketika dia berusia 22 tahun.
Pelakon drama Bicara Hati itu bertuah kerana mempunyai madu yang begitu memahami dan boleh menjadi tempat berteduh buatnya dan anak-anak.
“Kadang-kadang kakak sendiri tolong jagakan anak-anak saya bila saya ada penggambaran. Malah kami juga sambut raya bersama-sama di kampung halaman suami di Kelantan.
“Ya, saya bersyukur sangat kerana kakak masih ikhlas menerima saya hingga kini. Sesungguhnya, kehidupan bermadu adalah ujian buat saya,” ujarnya kepada wartawan Femina.
Pada masa sama, Zarina dan madu turut menjalankan perniagaan pulut kuning bersama-sama bagi menampung kehidupan mereka.
“Saya, madu dan anak-anak sama-sama masak pulut kuning bagi membiayai kehidupan kami yang tidak lagi mewah seperti dahulu selepas perniagaan suami sedikit terjejas.
“Sebenarnya, bila kami buat kerja sama-sama ia dapat mengeratkan lagi perhubungan kami anak-beranak,” katanya.
Menariknya, ibu kepada empat cahayamata itu juga dilihat seorang yang cekal dan tabah apabila turut membesarkan dua anak kembarnya yang autisme.
“Melayan anak-anak autisme bukan mudah, sangat memerlukan kesabaran yang tinggi. Saya pernah kena pukul bila salah seorangnya mengamuk.
“Namun begitu, saya perlu kuat demi membesarkan mereka kerana ia satu amanah dan tanggungjawab saya sebagai seorang ibu,” katanya sambil menyeka airmatanya yang membasahi pipi.
Hasil perkahwinannya dengan Abdul Raihan, mereka dikurniakan anak kembar istimewa, Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai, 23, termasuk Muhammad Naim Azrai, 16, dan Muhammad Adam Azrai, 13.