12 organisasi, individu terima anugerah WHC2020

12 organisasi, individu terima anugerah WHC2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 organisasi dan individu yang memberikan sumbangan kepada perkembangan industri halal menerima anugerah sempena Persidangan Halal Dunia 2020 (WHC2020) ke-12 anjuran Halal Development Corporation Berhad (HDC) di sini kelmarin.

Anugerah tahunan itu bertujuan untuk mengenal pasti organisasi dan individu yang telah menunjukkan nilai kepimpinan, inovasi perniagaan dan produk, pencapaian teknologi serta penglibatan sosial korporat ke arah pertumbuhan global ekonomi halal.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, Malaysia merupakan negara rujukan standard dan operasi halal.

“Pencapaian ini merupakan penanda aras setiap organisasi masing-masing. Sebilangannya merupakan jenama yang telah lama berada dalam industri masing-masing dan memasukkan prosedur ketat halal ini ke dalam operasi mereka.

“Secara tidak langsung, ini memperlihatkan pentingnya halal dalam proses perniagaan bagi mendapatkan keyakinan pelanggan dan sokongan pasaran,” katanya ketika berucap pada World Halal Night and Excellence Awards di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini kelmarin.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lim Ban Hong.

Hairol Ariffein

Hairol Ariffein

Sementara itu, Hairol Ariffein berkata, beliau menyedari bahawa Malaysia masih banyak bergantung kepada pengimportan produk halal dengan jumlah AS$25 bilion berbanding dengan eksport sekitar AS$10 bilion.

“Sebagai langkah langsung untuk mengurangkan defisit perdagangan produk halal, HDC menyatakan komitmen untuk meningkatkan eksport halal Malaysia dan mempromosikan lebih banyak pelaburan ke dalam industri halal domestik.

“Bagi merealisasikan tujuan ini, HDC akan memanfaatkan empat teras produk dan perkhidmatan iaitu latihan, perundangan, Halal Park dan Platform Bersepadu Halal (HIP),” katanya.

Peranan

Mengulas mengenai anugerah WHC2020, Hairol Ariffein berkata, Anugerah Kecemerlangan Farmaseutikal Halal diberikan kepada Pharmaniaga Manufacturing Berhad di atas peranan mereka dalam industri kesihatan sebagai penyedia produk dan perkhidmatan berkualiti yang dihasilkan serta diedarkan dalam proses halal yang ketat.

Katanya, Anugerah Kecemerlangan Dapur Pusat Halal pula dirangkul oleh The Westin Kuala Lumpur dan penilaian dibuat berdasarkan kepada sajian masakan berkualiti tinggi dan halal bagi memenuhi selera tetamu tempatan dan antarabangsa.

“Selain itu, mereka juga meletakkan aspek pengeluaran, pemprosesan, penyediaan dan penyimpanan makanan di setiap dapur halal sesuai dengan keperluan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Institut Penyelidikan dan Latihan Halal Antarabangsa (INHART) menerima Anugerah Kecemerlangan R&D Halal susulan dikenali kerana berinovasi, memasukkan teknologi dan idea ke dalam industri dan komuniti halal.

Katanya, syarikat yang mengendalikan KFC dab Pizza Hut, QSR Brands (M) Holdings Berhad pula dianugerahkan dengan Anugerah Kecemerlangan Jenama Halal.

“Ia merupakan penghargaan kepada jenama dan cap dagang berprofil tinggi yang dibina di seluruh industri halal yang merangkumi keunggulan kreatif dan konsistensi dalam mempromosikan penerimaan serta pengiktirafan melalui amalan pembuatan terbaik selain menegakkan integriti halal,” katanya.

Pengiktirafan

Beliau berkata, Syarikat Yotsuba Milk Products Co Ltd yang berpangkalan di Jepun pula dianugerahkan Halal International Business Excellence Award bagi mengiktiraf proses perniagaannya yang inovatif, pengembangan produk, perusahaan, kelestarian, kepimpinan dan kejayaan perniagaan secara keseluruhan dalam menembusi pasaran halal di peringkat global.

Sebagai negara berstatus hab halal dan negeri-negeri di Malaysia juga telah mengembangkan industri tersebut seiringan dengan ekonomi halal negara.

Ban Hong (kiri) menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Keperibadian Halal kepada Tun Musa Hitam yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Halal Park (HIP), Ahmad Lokman Ibrahim di Kuala Lumpur kelmarin.

Ban Hong (kiri) menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Keperibadian Halal kepada Tun Musa Hitam yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Halal Park (HIP), Ahmad Lokman Ibrahim di Kuala Lumpur kelmarin.

Negeri Perak telah dipilih menerima anugerah Kecemerlangan Prestasi Negeri Halal sebagai pengiktirafan kerana mengembangkan keupayaan halal negeri dan secara aktif mempromosikan penyertaan perniagaan di pasaran halal.

Anugerah tersebut diterima sendiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Manakala Anugerah Kecemerlangan Keperibadian Halal diberikan kepada Pengerusi Yayasan Ekonomi Islam Sedunia, Tun Musa Hitam bagi mengiktiraf kepimpinan dan komitmen luar biasa beliau terhadap ekonomi halal.

Beliau juga merupakan ketua juri bagi Anugerah Diraja untuk Kewangan Islam iaitu penghargaan berprestij yang mengiktiraf dan menghormati seorang visioner kewangan Islam dalam pencapaian dan inovasinya yang telah memberikan sumbangan besar kepada pertumbuhan kewangan islam, ekonomi global dan kemajuan sosial masyarakat di seluruh dunia.



Sumber